Itu bukan tanah Felda: Exco

Nazri Ngah
Nazri Ngah
A
A
A

LOKASI tanah yang didakwa berlaku pencerobohan orang luar dengan tanaman durian dan sawit di Felda Lurah Bilut di sini adalah milik kerajaan negeri.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kakitangan Felda di peringkat rancangan tidak mempunyai bidang kuasa untuk melakukan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah tersebut secara haram.

Nazri berkata, pada 2005 Felda telah memohon kepada pejabat tanah untuk mewartakan kawasan tersebut sebagai rizab Felda namun tiada kelulusan atau hitam putih diberikan berhubung status tanah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah rizab Felda kena ceroboh?

Menurutnya, pada 2016 dan 2017, permohonan sekali lagi dibuat namun tiada maklum balas maka sehingga kini penguatkuasaan atau hak milik tanah tersebut masih tidak diperoleh.

“Saya dah berurusan dengan pengurus wilayah tersebut, tidak ada apa apa berita tentang kedudukan status tanah tersebut. Ia masih tanah hak kerajaan negeri.

“Kawasan ini bukan kawasan Felda dan bukan hak milik Felda, maka Felda tidak ada kuasa untuk bertindak. Pejabat Tanah Daerah kena menguatkan penguatkuasaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada perkembangan sama, Nazri juga memberitahu telah menghubungi pihak pengurusan Felda di Wilayah Mempaga dan dimaklumkan kawasan tersebut bukan sahaja diusahakan orang luar malah juga melibatkan generasi peneroka sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Anak peneroka Felda pun ada yang mengusahakannya. Mengikut undang-undang sesiapa yang nak bercucuk tanam di atas tanah kerajaan negeri, hendaklah memohon menerusi pejabat tanah.

“Jika tiada kelulusan maka ia dianggap pencerobohan tanah secara haram. Maka penguatkuasaan oleh pejabat tanah mestilah dibuat kerana merugikan kerajaan negeri. Tanah diceroboh tapi hasil tak dapat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Tanah Felda, Erwan Aman ketika diminta mengulas pengesahan mengenai status pemilikan tanah tersebut berkata, pihaknya akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!