Tangisan bertukar senyuman, netizen puji persembahan Farah Ann

Farah Ann
Farah Ann
A
A
A

ATLET gimnastik artistik wanita negara, Farah Ann Abdul Hadi mungkin mengakhiri penampilan sulungnya di Olimpik dengan linangan air mata, namun kini beliau mampu tersenyum, terima kasih kepada banyak hantaran positif dan memberangsangkan oleh peminatnya dalam media sosial.

Gimnas berusia 27 tahun itu kelihatan hampa apabila meninggalkan Pusat Gimnastik Ariake pada Ahad selepas menamatkan saingan pada kedudukan ke-68 dalam kelayakan all-around individu sekali gus menamatkan perjuangannya di Jepun.

Farah Ann yang mengenakan leotard berwarna jingga, melengkapkan pusingan kelayakan dengan mengumpul markah keseluruhan sebanyak 48.565 mata.

Keadaan itu bukan sahaja meninggalkan kesan pada emosinya, tetapi fizikal beliau turut mempunyai parut selepas beraksi pada Ahad.

“When you wake up after the Olympic Games's battle scars... (Apabila anda bangun dengan parut selepas bertanding pada Sukan Olimpik...),” katanya dalam hantaran Instagram Story sambil menunjukkan beberapa kesan lebam berwarna merah pada kedua-dua lengannya.

Walaupun percubaannya untuk melangkah ke peringkat seterusnya di Jepun gagal, Farah Ann berjaya membawa lenggok tariannya menusuk ke hati rakyat Malaysia apabila beberapa pengguna media sosial memuji persembahannya pada temasya sukan terbesar itu.

Penyanyi terkenal Yuna yang terpesona dengan persembahan atlet kelahiran Selangor itu menulis dalam akaun Twitternya: “OMG (Oh my god) queen @farahannhadi.”

Seorang lagi pengguna Twitter dikenali sebagai @lyneids mempunyai caranya tersendiri mengucapkan tahniah kepada Farah Ann, dengan menghasilkan lukisan istimewa memaparkan persembahan ratu gimnastik negara itu di Olimpik Tokyo.

Artikel Berkaitan:

"Quick watercolour painting of Farah Ann. You did great. Well done and chin up! Enjoy being an Olympian! (Lukisan cat air pantas Farah Ann. Anda hebat. Syabas dan bangkit! Selamat menjadi seorang Olimpian!)," katanya.

@IzzatiTaufek pula menulis: "Farah Ann didn't make it to the final round but Malaysians are beyond proud of her. Hats off and well done, @farahannhadi! (Farah Ann tidak berjaya ke pusingan final tetapi rakyat Malaysia sangat bangga dengannya. Tahniah @farahannhadi!) Kami tetap sokong. #DemiMalaysia."

Farah Ann bersyukur mendapat sokongan penuh daripada rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakangnya semalam.

“Terima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda...ia sangat bermakna buat saya... Saya sayangkan anda,” katanya.

Farah Ann yang bertanding dalam pusingan kelayakan subdivision 4, bermula agak goyah pada awalnya apabila meraih 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat dan 11.566 mata dalam palang imbangan.

Beliau kemudiannya mempamerkan aksi mengagumkan dalam disiplin senam lantai dengan memperoleh 12.233 mata sebelum melengkapkan aksi dengan mata 13.166 dalam disiplin melombol.

Hanya 24 gimnas, dengan maksimum dua wakil dari setiap negara layak ke peringkat akhir acara all-around yang dijadualkan pada Khamis (29 Julai), sementara lapan gimnas terbaik, dengan maksimum dua wakil dari setiap negara akan meneruskan cabaran di final aparatus.

Seperti yang dijangka, juara bertahan Simone Biles dari Amerika Syarikat (AS) mengungguli ranking keseluruhan hari ini dengan mengutip 57.731 mata diikuti Rebecca Andrade dari Brazil (57.399 mata) dan seorang lagi gimnas AS Sunisa Lee di tempat ketiga (57.166 mata). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!