Brazil kekal pendahulu Kumpulan A, Jepun hampiri saingan kalah mati

Pemain Brazil, Richarlison (kanan), cuba melepasi kawalan pemain Ivory Coast pada perlawanan berkenaan.
Pemain Brazil, Richarlison (kanan), cuba melepasi kawalan pemain Ivory Coast pada perlawanan berkenaan.
A
A
A

JUARA bertahan, Brazil terikat tanpa jaringan ketika berdepan Ivory Coast pada aksi bola sepak Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Yokohama pada Ahad.

Keputusan berkenaan bagaimanapun dilihat tidak menggugat kedudukan skuad Selecao itu selaku pendahulu Kumpulan D dengan empat mata hasil kemenangan 4-2 pada aksi pembukaan berdepan Jerman, 22 Julai lalu.

Pada perlawanan berkenaan, kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain Brazil, Douglas Luiz dibuang padang pada minit ke-13 manakala pemain The Elephants, Eboue Kouassi turut dikenakan tindakan sama pada minit ke-79.

Dalam pada itu, dalam aksi Kumpulan A tuan rumah Jepun semakin menghampiri saingan kalah mati apabila menewaskan Mexico 2-1 di Stadium Saitama, pada Ahad.

Ia merupakan kemenangan kedua skuad Samurai Biru itu setelah menewaskan Afrika Selatan 1-0, pada 23 Julai.

Jepun membuka jaringan menerusi seawal minit ke-6 hasil jaringan Takefusa Kubo yang memanfaatkan peluang setelah pertahanan Mexico melakukan kesilapan.

Jepun kemudiannya menjaringkan gol kedua menerusi Ritsu Doan yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-11.

Mexico terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Yohan Vazquez dibuang padang pada minit ke-67.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, situasi berkenaan nyata tidak melemahkan semangat kesebelasan Mexico untuk terus mengasak ke gawang Jepun dan akhirnya berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan Roberto Alvarado pada minit ke-86.

Mexico juga hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, namun tandukan Vladimir Lorona berjaya diselamatkan penjaga gol Jepun.

Saingan Kumpulan B pula menyaksikan Korea Selatan menewaskan Romania 4-0, bagi menghidupkan semula peluang untuk ke saingan kalah mati setelah tewas 0-1 kepada New Zealand, pada aksi pembukaan, 22 Julai lalu.

Gol-gol Korea Selatan diperolehi hasil jaringan sendiri oleh kapten Romania, Marius Marin pada minit ke-27, Um Won-Sang (min-59), manakala Lee Kang In menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 sebelum menjaringkan gol keempat pada minit ke-90 bagi memastikan kemenangan.

Sementara itu aksi Kumpulan C Sepanyol mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu setelah menewaskan Australia 1-0 manakala Argentina menghidupan semula peluang ke pusingan kalah mati apabila menewaskan Mesir 1-0.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!