Protes doktor kontrak berlangsung tenang
GEORGETOWN - Protes kumpulan doktor kontrak di Hospital Pulau Pinang berlangsung dengan tenang tanpa sebarang perhimpunan.
Sebaliknya mereka yang dianggarkan tidak melebihi 20 orang dan berpakaian hitam sebagai tanda bersolidariti hanya dilihat berjalan dari lobi menuju ke unit kecemasan hospital terbabit.
Tinjauan Sinar Harian di hospital itu sejak jam 11 pagi mendapati, hanya seorang sahaja peserta yang memegang poster yang tertulis perkataan Hartal sebagai tanda bantahan mereka.
Salah seorang peserta yang ditemui, Dr Zakiah Hanim Zakaria, 29 berkata, pada mulanya dia enggan menyertai protes berkenaan namun menyedari melalui gerakan ini sahaja pihaknya dapat menyatakan gesaan kepada kerajaan dalam menyelesaikan isu yang membelenggu doktor kontrak di seluruh negara.
Dr Zakiah Hanim yang bertugas di wad merawat pesakit Covid-19 di hospital terbabit berkata, kesemua doktor kontrak yang hadir tidak mengabaikan tugas merawat pesakit kerana sudah habis waktu bertugas selain ada yang tidak bertugas.
"Sebagai doktor kontrak, kita perlu bersatu dan mungkin ini adalah cara sokongan yang mungkin boleh mengubah polisi negara supaya lebih sistematik.
"Kita sedia maklum doktor pakar yang sedia ada ini akan bersara nanti, jadi kita mahu negara ada perancangan bagi menghasilkan pelapis mereka," katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Dr Chew Kai Soo, 28 berkata, mengikut perancangan ramai doktor kontrak yang mahu hadir dalam protes yang diadakan namun sebahagian mereka tepaksa membatalkan hasrat kerana perlu memikul tugas merawat pesakit.
Katanya, dia yang bertugas di wad Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi dan telah lebih 11 bulan tidak bertemu dengan isteri yang turut berkhidmat di sebuah hospital di Sarawak berikutan memberi komitmen terhadap kerjaya.
"Pengorbanan kami ini sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya oleh kerajaan dan saya berharap isu mengenai doktor kontrak ini dapat diberi perhatian serius sekali gus membolehkan kebajikan kami terbela," katanya.
Dianggarkan terdapat kira-kira 100 doktor kontrak yang berkhidmat di Hospital Pulau Pinang ketika ini.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Asmayani Khalib yang turut berada di lokasi bantahan di sini enggan memberikan sebarang kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!