Laksana tiga perkara utama sebelum buka kembali sekolah: Maszlee
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa melaksanakan tiga perkara utama jika ingin membuka kembali sekolah dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata, tiga perkara itu perlu dilaksanakan tidak kira bila sekolah akan dibuka kembali.
Jelasnya, pertama kerajaan perlu membentangkan terlebih dahulu prosedur operasi standard (SOP) khas kepada rakyat secara keseluruhannya agar hilang kerisauan ibu bapa dan guru.
"Keduanya selesaikan proses vaksinasi kepada semua guru, pekerja sekolah tanpa ada yang terkecuali termasuk pengawal keselamatan, kakitangan kantin dan semua yang terlibat.
"Ini kerana, kesejahteraan dan keselamatan guru adalah perlu diberi keutamaan," katanya ketika sesi perbahasan penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Menurut Maszlee, ketiga, kerajaan juga perlu mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi kepada calon kelas peperiksaan.
Tambahnya, kelas peperiksaan itu membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Ramai ibu bapa yang belum bersetuju (sebelum ini) namun inginkan anak mereka yang bakal duduki peperiksaan kembali ke sekolah tetapi kesihatan dan keselamatan perlu diberi keutamaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!