Daftar manual legakan penduduk luar bandar dapat vaksin

Mohd Akmal (kiri) mengisi borang pendaftaran vaksin secara manual bagi pihak Zainun Jaafar (dua, kiri) ketika membuat rondaan di Kampung Tanjung Lengkong. - Foto Bernama
Mohd Akmal (kiri) mengisi borang pendaftaran vaksin secara manual bagi pihak Zainun Jaafar (dua, kiri) ketika membuat rondaan di Kampung Tanjung Lengkong. - Foto Bernama
A
A
A

SELAMA - Pendaftaran vaksin secara manual perlu dipertingkatkan khususnya kepada penduduk luar bandar di Perak yang sukar mendaftar melalui aplikasi MySejahtera disebabkan faktor sistem telekomunikasi yang kurang baik.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pendaftaran secara manual boleh digiatkan melalui program outreach rumah ke rumah dengan kerjasama Pejabat Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ada penduduk di kawasan pedalaman (di Perak) mempunyai masalah dari segi pendaftaran kerana faktor capaian internet dan keterbatasan akses kepada telefon bimbit dan pengangkutan. Bukannya mereka menolak vaksin tetapi tidak mempunyai akses untuk mendaftar.

“Oleh itu, program pendaftaran secara manual dilakukan dengan mengedar borang pendaftaran secara terus kepada penduduk. Kita juga pergi dari rumah ke rumah untuk memastikan pendaftaran vaksin penduduk dan kebajikan mereka terjamin.

“Kita hanya ambil butiran asas seperti nama, alamat, nombor telefon dan nombor kad pengenalan. Maklumat mereka ini kita akan daftarkan di Pejabat Daerah masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera atau terus dirujuk kepada JKN (untuk proses vaksinasi),” katanya.

Bercakap kepada Bernama selepas selesai program outreach di sini baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama itu berkata, inisiatif tersebut seharusnya diperluaskan ke seluruh tempat di negeri ini bagi mendapatkan seramai mungkin mendaftar dan mendapatkan vaksin.

Dalam program itu, kira-kira 1,600 penduduk berjaya didaftarkan dalam masa sehari, membabitkan Kampung Tapah, Pejabat Penghulu, Sungai Rambutan, Sungai Kuning, Rantau Panjang, Tanjung Lengkong dan Bukit Bertam.

Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata, pendaftaran turut memberi keutamaan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bagi mendapatkan suntikan vaksin dengan kadar segera.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga pantau kebajikan penduduk kerana ada yang kita temui yang mengalami masalah bekalan makanan jadi kita salurkan barang keperluan secara terus kepada mereka," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tanjung Lengkong, Abdul Malik Yahya, 48, bersyukur apabila ibunya, Zainun Jaffar, 83, menerima panggilan janji temu suntikan vaksin sejurus mendaftar secara manual.

"Rasa terkejut dan gembira apabila ibu menerima panggilan untuk dapatkan suntikan vaksin. Pengangkutan juga disediakan untuk membawa kami ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Selama. Usaha sebegini harus diteruskan bagi membantu lebih ramai penduduk pedalaman mendaftar untuk suntikan vaksin," katanya.

Seorang lagi penduduk, Jalil Majid, 54, yang menghidap sakit kronik berkata, pada mulanya beliau keberatan untuk mendaftar suntikan vaksin.

"Saya bimbang kesan sampingannya kerana saya menghidap penyakit kronik, tetapi setelah dijelaskan dan dipujuk Exco (Mohd Akmal) tentang kebaikan vaksin saya terbuka hati untuk mendaftar," jelasnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!