Kerajaan Johor bantu gelandangan dapat kerja
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor membantu 10 gelandangan mendapatkan pekerjaan bagi memastikan mereka mempunyai sumber pendapatan bulanan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, inisiatif tersebut dilakukan dengan membawa pihak majikan ke kawasan gelandangan dan mengadakan sesi temuduga di Anjung Singgah oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Ia mendapat kerjasama Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia," katanya kepada pemberita di Anjung Singgah, pada Isnin.
Turut hadir Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuan.
Sesi temuduga dijalankan secara dua kaedah iaitu fizikal dan hibrid dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Zaiton berkata, antara majikan yang terlibat dalam program itu Pelabuhan Tanjung Pelepas, ATA Industrial Sdn Bhd, JCY HDD Technology Sdn Bhd, Kulim Malaysia Berhad, Polycore Optical (M) Sdn Bhd dan VS Industry Berhad.
"Alhamdulillah seramai 10 orang yang menghadiri sesi temuduga ini berjaya ditawarkan pekerjaan.
"Semoga usaha baik ini berterusan untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Johor dipertingkat terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!