Pendapatan lebih 1,000 nelayan terjejas sehingga 70 peratus
BACHOK - Pendapatan lebih 1,000 nelayan di sini terjejas sehingga 70 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Mohd Saripundin Isahak berkata, ahli yang bernaung di bawah persatuan mengharapkan kerajaan mengambil perhatian terhadap nasib yang menimpa mereka dan membantu bagi meringankan bebanan ditanggung.
Beliau berkata, nelayan mengalami kesukaran memasarkan hasil tangkapan ke lokasi lebih jauh selain cuaca yang tidak menentu turut membataskan pergerakan mereka di laut.
“Pergerakan di darat juga terbatas ketika PKP menyebabkan pasaran ikan sukar dipasarkan secara meluas ke kawasan yang lebih jauh.
“Tambah pula cuaca yang tidak menentu seperti ribut menyebabkan ada yang seminggu tidak dapat ke laut untuk menangkap ikan,” katanya kepada pemberita di Kompleks Pendaratan Ikan Pengkalan Petah di sini pada Isnin.
Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila perairan negara didakwa diceroboh nelayan asing warga Vietnam yang mencuri hasil laut.
“Perlu penguatkuasaan tegas seperti kawalan sempadan perairan dengan menggunakan bot induk bagi mengekang pencerobohan yang boleh menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.
“Elaun sara hidup nelayan sebanyak RM300 tidak mencukupi kerana ada dalam kalangan mereka yang mempunyai anak ramai dan pelbagai lagi perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Seorang nelayan, Husin Jaafar, 57, berkata, dia memerlukan enjin bot yang lebih berkuasa tinggi tetapi tidak berkemampuan membelinya kerana pendapatan yang terjejas ketika ini.
“Sebelum ini ada nelayan yang menjalankan kerja sampingam seperti mengambil upah sebagai buruh kasar.
“Sekarang PKP, rumah sendiri pun ada yang tidak sempat siap dan terbengkalai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!