Aaron-Wooi Yik akur kehebatan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan
BEREGU lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal meneruskan rentak kemenangan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila tumpas kepada pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi kedua Kumpulan D pada Isnin.
Walaupun menampilkan semangat juang tinggi terutama pada set kedua, pasangan muda negara yang berada di ranking kesembilan dunia itu gagal menyaingi kehebatan juara dunia tiga kali dari Indonesia dalam aksi yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza
Gandingan Malaysia itu tumpas 16-21 di set pertama, dan bangkit pada set kedua apabila mendahului 11-6 pada satu ketika sebelum terpaksa akur di tangan pasangan Indonesia itu 19-21.
Berikutan kekalahan itu, Aaron-Wooi Yik perlu menang pada pertemuan terakhir kumpulan menentang wakil Kanada, Jason Ho-Shue-Nyl Yakura esok untuk mara ke peringkat suku akhir.
Hanya dua beregu teratas dalam kumpulan akan mara ke suku akhir.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Aaron berkata mereka tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan kerana sering melakukan kesilapan sehingga membolehkan pasangan Indonesia itu mengutip mata mudah.
“Pada set kedua kita bermain dengan baik, tetapi selepas ‘interval’ kami gagal mengekalkan permainan,” katanya dan menambah mereka akan beraksi bermati-matian menentang wakil Kanada itu pada pertemuan esok untuk layak ke suku akhir.
Beliau berkata, mereka tidak pernah berdepan pasangan dari Kanada itu, sebaliknya hanya menonton video bagi mengetahui corak permainan lawan mereka itu.
Pada aksi pembukaan dua hari lepas, gandingan muda negara itu menumbangkan beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae 24-22, 21-15.
Sementara itu, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal meraih sebarang kemenangan pada penampilan di Sukan Olimpik Tokyo apabila tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi peringkat kumpulan.
Pada aksi hari ini, Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur di tangan pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping 13-21, 19-21.
Ketika ditemui pemberita, Peng Soon mengakui prestasi mereka terkesan pada temasya sukan itu kali ini kerana terlalu mahukan kemenangan dan meraih keputusan yang cemerlang.
“Kita sudah bermain habis-habisan, tetapi keputusan di Sukan Olimpik Tokyo mengecewakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!