1MDB tarik balik saman AS$1 bilion terhadap firma guaman, rakan kongsi
KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menarik balik saman AS$1 bilion yang difailkan terhadap firma guaman Tetuan Wong & Partners dan rakan kongsinya, Brian Chia Hock Gee.
Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh pihak media menerusi sistem kehakiman pada Isnin, dinyatakan bahawa 1MDB selaku plaintif telah menarik balik samannya terhadap kedua-dua defendan itu pada 19 Julai lalu.
Draf yang diluluskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Siti Aisyah Ahmad turut menyatakan bahawa writ saman itu ditarik balik dan dibatalkan tanpa kebebasan untuk plaintif memfailkan semula tuntutan saman dan tiada perintah terhadap kos.
1MDB menerusi writ samannya yang difailkan pada 7 Mei lalu mendakwa kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan melanggar kewajipan statutori terhadap syarikat itu bagi pihak Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low serta sekutu mereka sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1 bilion.
1MDB menuntut ganti rugi AS$1 bilion serta pembayaran fi perundangan RM664,821.21.
Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan telah mengesahkan bahawa 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion, termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lalu iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.
Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!