MPN seharusnya tidak libatkan ahli politik: Tun M
KUALA LUMPUR - Majlis Pemulihan Negara (MPN) seharusnya menjadi sebuah badan tanpa penglibatan ahli politik.
Pengerusi parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, badan berkenaan sebaliknya perlu mengandungi hanya golongan profesional, yang biasa mengendalikan pandemik, epidemik dan penyakit.
“Ahli politik pada dasarnya tidak faham perubatan, saya rasa saya tahu sedikit sebanyak kerana saya pernah dilatih sebagai doktor tapi pasti yang lainnya akan bercakap mengenai politik, semua yang mereka buat adalah berkisar mengenai usaha menjadi popular dan dapatkan lebih banyak undi,” katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian dalam persidangan media maya selepas menghadiri sidang khas di Dewan Rakyat hari ini.
Jumaat lepas Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata MPN bersetuju menjemput wakil dari parti-parti pembangkang menjadi anggota majlis itu, selaras dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip kolaborasi, inklusif dan penyatuan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!