Elak isu suntik picagari kosong berulang

No Image Caption
A
A
A

KEJADIAN suntikan picagari kosong oleh pegawai perubatan terhadap penerima vaksin Covid-19 telah dilaporkan berlaku di beberapa negara di dunia.

Namun, yang mendukacitakan kita, Malaysia turut tidak terkecuali terpalit dalam isu seumpama itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan dakwaan tiga kes individu yang disuntik picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berpunca daripada keletihan yang dihadapi petugas dan sukarelawan.

Sebelum ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 memaklumkan pihaknya akan menyiasat beberapa aduan termasuk kes pertama berlaku pada 17 Julai lalu melalui vaksinasi di kem tentera Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.

Difahamkan, tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi terbabit.

Dua insiden lain turut berlaku di PPV, masing-masing di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC).

Sekiranya petugas perubatan dikatakan keletihan, KKM boleh menambah jumlah petugas sedia ada.

Bagaimanapun, ramai tetap tertanya-tanya apakah punca lain yang menyebabkan berlakunya suntikan picagari kosong.

Artikel Berkaitan:

Apakah mungkin terdapat segelintir petugas barisan hadapan cuba melakukan penipuan dengan menjual dos yang mereka simpan kepada pihak-pihak tertentu.

Selain itu, kita juga mengesyaki adanya segelintir petugas perubatan yang kurang terlatih sehingga melakukan kecuaian sedemikian.

Isu suntikan picagari kosong tidak seharusnya berulang di Malaysia, lebih-lebih lagi kes penularan Covid-19 masih membimbangkan.

Kita tidak boleh membiarkan kejadian yang berlaku di negara kita menjadi bahan ketawa di peringkat antarabangsa.

Kita perlu mempertahankan maruah dan imej negara.

Rakyat jelata perlu sedar isu yang memalukan negara bukanlah mencerminkan situasi sebenar.

Ia hanyalah kes terpencil.

Kebanyakan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat telah dan masih menggadai nyawa bertarung memerangi pandemik Covid-19.

Ibarat peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Kerajaan mesti mengenakan tindakan terhadap petugas yang tidak bertanggungjawab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!