Ekonomi politik di Malaysia

Wang tidak mengenal parti – baik parti berteraskan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau yang berlabelkan agama.
Wang tidak mengenal parti – baik parti berteraskan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau yang berlabelkan agama.
A
A
A

SELAGI isu pembiayaan politik tidak diselesaikan, selagi itulah struktur politik kita tidak telus dan aspek governans tidak dapat dipertahankan.

Parti politik perlukan wang. Jentera politik digerakkan oleh wang. Lebih-lebih lagi hari ini, setiap langkah politik memerlukan “minyak”. Itu realiti yang harus diterima.

Wang tidak mengenal parti – baik parti berteraskan Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau yang berlabelkan agama.

Setiap parti politik mempunyai cara dan kaedahnya yang tersendiri untuk mendapatkan dana atau pembiayaan.

Pada zaman sebelum dan selepas kemerdekaan tanah air parti seperti UMNO masih kecil dan miskin.

Orang Melayu yang menyokongnya membantu dengan cara memberikan sumbangan peribadi.

Ahli dan penyokong parti membuat pengorbanan tenaga, wang ringgit dan harta benda untuk menggerakkan parti.

Idealisme perjuangan begitu kental dan berakar. Pemimpin parti banyak yang bermotosikal menghadiri mesyuarat. Banyak pengasas dan pejuang awal UMNO meninggal dunia dalam keadaan miskin dan tanpa harta.

Artikel Berkaitan:

Apabila UMNO menjadi parti dominan dan berkuasa, situasi berubah. Pertumbuhan rancak ekonomi negara menjanjikan dana politik yang melimpah ruah.

Pada peringkat peribadi pertaruhan untuk menjadi pemimpin UMNO begitu besar. Banyak yang percaya menjadi pemimpin UMNO adalah tiket untuk membuat kekayaan.

Maka itu kedudukan penting dari Presiden, Timbalan Presiden, ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian menjadi rebutan.

Bukan UMNO sahaja yang melalui proses transformasi itu, semua parti lain, dari Pas hingga DAP.

Parti Pas yang satu masa dahulu bergantung pada sumbangan khalayak yang mendengar ceramah pemimpinnya kini digerakkan oleh struktur pembiayaan yang sama kompleksnya dengan parti-parti lain.

Bagi UMNO, salah satu sumber dananya ialah dengan memastikan ia mengawal beberapa buah syarikat utama di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL, sekarang Bursa Malaysia).

Syarikat ini akan diserahkan atau dikendalikan oleh orang yang mereka percayai. Ataupun UMNO akan memastikan parti itu mempunyai kepentingan di dalam syarikat tertentu.

Salah satu wahana yang digunakan bagi mewakili UMNO dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia ialah Gabungan Kasturi Sdn Berhad.

Dari pembabitan syarikat yang diamanahkan pada nominee atau melalui Gabungan Kasturi, UMNO akan memastikan dividen yang berterusan.

Sewaktu ekonomi dalam keadaan baik dan indeks Bursa Malaysia tinggi, ratusan juta ringgit dividen setiap tahun akan terjamin.

Bagi nominee yang memegang kepentingan atas nama peribadi pula mereka akan memastikan sejumlah wang untuk keperluan UMNO apabila diperlukan, khususnya sewaktu pilihanraya umum.

Salah satu matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan selepas Peristiwa Berdarah 1969 ialah menstruktur semula ekonomi.

Maka itu syarikat Bumiputera dipastikan memperoleh 30 peratus ekuiti mana-mana syarikat yang hendak disenaraikan.

Keutamaannya tentulah pada agensi pelaburan Bumiputera seperti PNB dan lain-lain.

Tetapi bukan rahsia lagi bahawa terdapat saham Bumiputera yang jatuh ke tangan individu tertentu atau syarikat yang dikenalpasti oleh pimpinan. Maka itu crony capitalism menjadi salah ciri pada era pemerintahan UMNO.

Dalam konteks inilah kajian Professor Terence Gomez amat relevan. Beliau mendedahkan bagaimana “ekonomi politik” atau political economy menjadi satu ciri dunia bisnes Malaysia.

Corporate Malaysia bercambah dengan nepotisme dan kronisme.

Sistem ini membabitkan bukan sahaja naungan atau patronage tetapi juga memastikan keuntungan bagi UMNO.

Amalan ini membabitkan Kementerian Kewangan sendiri seperti yang didedahkan oleh buku Gomez yang berjudul Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia.

Ada kalanya UMNO sendiri, akibat mempercayai individu tertentu “terkena” apabila individu tersebut enggan mengakui saham syarikat sebenarnya “diamanahkan” pada mereka dan bukan milik mereka.

Politik dan ekonomi di Malaysia menjadi begitu sebati. Amalan ini sukar ditangani disebabkan ia menjadi satu budaya yang berakar umbi.

Malah apabila kerajaan Perikatan Harapan (PH) mengambil alih dengan pelbagai janji untuk membuat reformasi, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menghentikan amalan ini.

Malah adalah dipercayai berlaku pertukaran kulit luaran sahaja, individu berubah sedangkan sistem dan amalannya tidak.

Dengan majoriti tipis, kerajaan Perikatan Nasional (PN) malah mengenepikan semua amalan tadbir urus yang baik dengan meletakkan orang politik memimpin syarikat GLC.

Belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia demikian banyak pimpinan politik memegang sedemikian banyak kedudukan dalam syarikat utama.

Ekonomi politik ada masalahnya yang tersendiri. Ia bukan sahaja melahirkan situasi yang memungkinkan yang berkuasa mendapat habuan tetapi juga menimbulkan isu governans dan integriti.

Tidak wujud level playing field di antara parti.

Ekonomi yang dicorakkan oleh keputusan politik banyak mudaratnya. Politik sepatutnya memastikan eko-sistem ekonomi yang baik.

Politik menyediakan dasar yang betul sesuai dengan kepentingan ekonomi.

Tetapi apabila keputusan ekonomi dibuat atas dasar politik dan ekonomi mendapat “gangguan” politik sepanjang masa, pertumbuhannya akan terbantut untuk jangka panjang.

Mungkin dalam situasi politik yang baik semuanya boleh dipertahankan. Tetapi apabila berlaku Krisis Ekonomi 1997/1998, banyak syarikat kroni yang tersungkur.

Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.

Pada era pandemik Covid-19, sekali lagi ketahanan ahli perniagaan diuji. Sekali lagi hanya yang punya kemahiran, keutuhan kewangan dan daya tahan yang akan bertahan.

Peniaga jenis pasang siap tidak akan bertahan lama tanpa bantuan pemerintah.

Ekonomi perlu liat atau resilient. Untuk memastikan ekonomi yang lestari diperlukan dasar yang liberal dan terbuka.

Kawalan memang diperlukan tapi bukan mengongkong sifatnya.

Kita memerlukan ahli perniagaan yang tahan uji dan berkemampuan bukan mereka yang lahir hasil dari mendapat saham percuma, kontrak mudah dan pelindungan berterusan.

Apa yang lebih penting ialah untuk jangka panjang pembabitan politik dalam dunia perniagaan akan hanya menggalakkan rasuah, ketidakadilan dan keuntungan bagi segelintir manusia terpilih.

* Tan Sri Johan Jaaffar salah seorang anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada bulan Ogos 2015. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!