Semangat norma baharu MTF
AHLI Jawatankuasa Persekutuan Taekwon-Do Malaysia (MTF) yang baharu dipilih dalam mesyuarat agung kali pertama secara dalam talian melalui aplikasi Zoom pada Sabtu, diharapkan terus komited demi kemajuan sukan tersebut di negara ini.
Presidennya, Najmi Abdullah berkata, dia amat bangga dengan komitmen ahli jawatankuasa baharu MTF yang terdiri dalam kalangan golongan muda yang mempunyai pelbagai latar belakang akademik dan profesional.
“Walaupun Malaysia ketika ini berdepan pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang mesyuarat agung ini diteruskan secara maya seperti dirancang dengan kehadiran 61 perwakilan terdiri daripada perwakilan setiap negeri, kelab bersekutu dan pemerhati jemputan.
“Cabaran melaksanakan aktiviti secara maya ini sangat tinggi dan memerlukan disiplin setiap ahli untuk hadir tepat pada waktu ditetapkan dan tidak terkecuali Mesyuarat Agung MTF yang berlangsung hari ini.
“Namun ahli-ahli MTF menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi dengan dengan usul-usul serta perkara berbangkit telah dibincangkan dengan lancar termasuk pemilihan jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 yang dibuat secara e-polling yang sistematik.
“Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19, MTF telah membuat perubahan dinamik selari norma baharu menyaksikan kelas-kelas latihan harian di bawah seliaan jurulatih MTF terus bergerak aktif melalui platform online termasuk peperiksaan kenaikan tali pinggang dan juga latihan berpusat yang dibuat setiap minggu secara percuma di bawah kendalian Yong Kin Chong,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, menurut Najmi, MTF akan menyertai Kejohanan Dunia yang pertama kali diadakan secara atas talian anjuran badan antarabangsa International Taekwon-Do Federation (ITF) pada September depan.
Menurut Najmi, pengalaman menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dalam normal baharu ini akan membantu MTF untuk menganjurkan pertandingan seumpamanya pada masa akan datang.
JAWATANKUASA MTF 2021/2023
Presiden:
Najmi Abdullah (Terengganu)
Timbalan Presiden:
Datuk Dr Husein Kalid (Selangor)
Naib-Naib Presiden:
Hassan Basri Tajul Arifin (Putrajaya)
Yong Kin Chong (Perak)
Nandakumar PN Nambiar (Kedah)
Setiausaha Agung:
Saiful Nizam Ashari (Terengganu)
Bendahari Kehormat:
Jayasilen Sivapragasam (Pulau Pinang)
Ahli Jawatankuasa:
Balachandran Sangkaranayar (Pulau Pinang)
Ng Boon Tuck (Pahang)
Dr Nasree Najmi (Terengganu)
Thung Jin Ping (Kuala Lumpur)
Nasriah Najmi (Terengganu)
Tham Yip Seong (Perak)
Juruaudit Dalaman:
Susila Adam Khan (Pulau Pinang)
See Kean Piew (Perak)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!