Kes denggi di Kelantan turun ketara tahun ini
KOTA BHARU - Kes bawaan wabak denggi di negeri ini mencatat penurunan ketara apabila sebanyak 129 kes dilaporkan sehingga Julai tahun ini berbanding 2,448 kes tempoh sama pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penurunan berkenaan melibatkan sebanyak 2,319 kes iaitu sebanyak 94.7 peratus.
Selain itu, katanya, tiada kes kematian denggi dicatatkan pada tahun ini berbanding lima kes kematian denggi bagi tempoh sama pada tahun lalu.
“Statistik denggi mingguan Kelantan pada minggu epid 29 iaitu 18 hingga 24 Julai mencatatkan empat kes iaitu peningkatan satu kes berbanding tiga kes pada minggu sebelumnya.
"Pada masa ini tiada wabak denggi yang aktif di seluruh negeri Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan meminta seluruh masyarakat agar membuat pemeriksaan sendiri persekitaran rumah kediaman atau premis masing-masing dengan memastikan tiada tempat pembiakan aedes di dalam dan luar rumah.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 111,269 premis dan rumah kediaman pada tahun ini, sebanyak 2,532 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.
Menurutnya, pihaknya juga telah mengeluarkan sebanyak 325 kompaun yang dicadangkan dengan nilai RM162,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
"Jika rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil pemeriksaan menjumpai pembiakan aedes, maka kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikeluarkan.
“Sebanyak 64 notis Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!