Pembangkang terus asak status pembatalan Proklamasi Darurat
KUALA LUMPUR - Status sebenar pembatalan Proklamasi Darurat yang diumumkan di Dewan Rakyat pada Isnin terus dipersoalkan blok ahli Parlimen pembangkang pada hari kedua Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Selasa.
Desakan dibuat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar membuat penjelasan serta-merta, bukannya pada Isnin depan memandangkan ada pendakwaan berkaitan kesalahan bawah Ordinan Darurat masih berjalan sehingga hari ini.
Persoalan sama ada ia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diasak selama lebih 30 minit selepas dewan mula bersidang.
Bagaimanapun mengejutkan apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau turut tidak dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut.
"Sebenarnya saya sebagai ahli Parlimen pun dalam situasi yang agak sama (tidak dimaklumkan) dan saya percaya ramai peguam di sana dan kalau kita tengok media sosial bertanya tentang soalan yang sama.
"Tetapi memandangkan kita dalam sistem demokrasi berparlimen, saya dimaklumkan menteri undang-undang akan memberi penerangan tentang perkara ini pada Isnin, 2 Ogos," katanya.
Bagaimanapun sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, Takiyuddin bertegas untuk diberi peluang memberi penerangan dan penjelasan pada Isnin depan.
Namun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH- Port Dickson) menempelak mendakwa pembatalan Proklamasi Darurat itu sebenarnya memang tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong menyebabkan penjelasan tidak dibuat serta-merta.
"Jangan buat helah umpamanya tunggu hari Isnin, kita bincang ini yang terkait dengan ordinan dan proklamasi. Menteri kata dah batal, jadi kita nak tahu kalau belum beritahu sajalah bahawa kabinet yang putuskan baru nak dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan minta beri ruang dipertimbang dan perkenan. Bukan mudah begitu, ini nak dolak-dalik, ronggeng ni apa?
"Orang tak boleh percaya dah pemimpin dalam kerajaan ini jika perkara spesifik begini tak boleh jawab. Kalau Yang di-Pertuan Agong dah perkenan saya percaya semalam lagi dia dah jawab, ini suratnya. Tapi tak ada, jawablah tak ada," katanya.
Pada Isnin, kerajaan Perikatan Nasional memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Takiyuddin berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Darurat ditamatkan 1 Ogos
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!