Jangan jadikan doktor kontrak seperti PPE
KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa agar tidak menjadikan doktor-doktor berstatus kontrak di negara ini seperti peralatan pelindungan diri (PPE), dengan mengambil serius setiap tuntutan kumpulan yang melaksanakan protes pada Isnin.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan nekad kumpulan tersebut nyata menggambarkan betapa mereka terpaksa memilih jalan akhir agar kebajikan mereka dipelihara.
Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor juga meminta agar pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap protes yang dilaksanakan oleh kumpulan tersebut di beberapa lokasi hospital di seluruh negara yang dilaporkan semalam.
"Jangan jadikan mereka (doktor kontrak) sebagai PPE. Digunakan kemudian dibuang. Tuntutan mereka adalah munasabah yang mahu layanan kepada mereka diberi dengan lebih telus dan adil.
"Jangan ada pihak berkuasa yang mengambil tindakan terhadap doktor yang terlibat dengan Hartal Doktor Kontrak ini. Mereka lakukan ini bagi merayu agar kemasylahatan mereka dilindungi," katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Selasa.
Pada Isnin, beberapa kumpulan doktor kontrak di hospital-hospitak kerajaan melakukan prostes secara serentak di seluruh negara bagi menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.
Protes tersebut tetap dijalankan meskipun menerima tekanan daripada pihak atasan yang mengancam akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang menyertai Hartal Doktor Kontrak (HDK).
ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kontrak mogok, tuntut dua perkara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!