Kapasiti ujian RT-PCR meningkat 1,874 peratus

Dr Adham Baba - Foto Bernama
Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kapasiti ujian RT-PCR SARS-CoV-2 yang dijalankan menerusi 94 makmal di negara ini meningkat sebanyak 1,874 peratus, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Sidang Khas Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, sejumlah 51 makmal kerajaan dan 43 makmal swasta mempunyai kapabiliti untuk menjalankan ujian RT-PCR SARS-CoV-2 di seluruh negara, dengan kapasiti ujian sebanyak 122,603 ujian sehari.

"Berbanding kapasiti ujian RT-PCR pada bulan Mac 2020,hanya 6,210 ujian sehari iaitu peningkatan sebanyak 1,874 peratus.

"Berdasarkan peningkatan keupayaan ini, kapasiti ujian di setiap negeri telah ditingkatkan. Sebagai contoh, di negeri Selangor, bilangan ujian RT-PCR yang telah dijalankan pada tahun 2020 adalah sebanyak 840,165 dan jumlah ini meningkat kepada 2.43 juta dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 2021," katanya.

Tambah beliau, Malaysia antara negara pertama yang menggunakan kaedah ujian RTK-Ag SARS-CoV-2 untuk pengesanan Covid-19 di fasiliti kesihatan dan lapangan.

"Ujian RTK-Ag di Malaysia bermula pada Mei 2020. Sehingga 26 Julai 2021, ujian RTK-Ag SARS-CoV-2 yang telah dijalankan oleh fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta adalah sebanyak 8,325,083 (agensi kerajaan: 2,589,655 dan agensi swasta: 5,735,428)," katanya.

Pada sesi penjelasan itu, Dr Adham turut menyentuh mengenai pengukuhan survelan Covid-19, yang mana terdapat 35 jenis saringan yang dijalankan termasuk survelan influenza like-illness (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dalam mengesan awal kes serta kontak rapat bagi membendung penularan pandemik.

Ujarnya, KKM juga menubuhkan 180 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara bagi mengendalikan penilaian ke atas individu yang dikesan positif selepas menjalani ujian saringan.

Artikel Berkaitan:

"Ia bertujuan mengenal pasti tahap keterukan pesakit mengikut kategori satu hingga lima bagi tujuan rawatan susulan, mengenal pasti pesakit Covid-19 di dalam kategori satu dan dua yang sesuai untuk menjalani pengasingan atau kuarantin di rumah (HSO) selama 10 hari.

"CAC juga bertujuan merujuk pesakit yang tidak memenuhi kriteria HSO ke PKRC atau pesakit yang berisiko tinggi ke hospital. Secara purata, kedatangan pesakit di setiap CAC Lembah Klang adalah kira-kira 700 hingga 3,000 pesakit sehari, manakala purata kedatangan pesakit di setiap CAC di negeri lain adalah seramai 100 hingga 500 pesakit sehari," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!