'Ribut paling buruk'

Mohd Tarmizi (kanan) meninjau keadaan bumbung rumah Mohd Ridzuan yang rosak teruk dalam kejadian ribut di Felda Sungai Panching Utara di sini pada Isnin.
Mohd Tarmizi (kanan) meninjau keadaan bumbung rumah Mohd Ridzuan yang rosak teruk dalam kejadian ribut di Felda Sungai Panching Utara di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN- Mangsa ribut dari Felda Sungai Panching Utara di sini menyifatkan bencana alam yang berlaku pada petang Isnin adalah yang terburuk sejak tanah rancangan itu dibuka sekitar tahun 1971.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sebanyak 24 rumah terjejas termasuk beberapa rumah rosak teruk selepas bahagian bumbung tercabut diterbangkan ribut.

Beberapa penduduk mendakwa turut mengalami kerugian apabila ada pokok buah-buahan mereka tumbang dalam kejadian itu.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Salah seorang penduduk, Mohd Ridzuan Abd Rahman, 44, berkata, rumahnya antara paling terjejas teruk apabila hampir keseluruhan bahagian bumbung tercabut diterbangkan angin.

Menurutnya, ketika kejadian hanya isterinya berada di rumah manakala dia masih di tempat kerja.

"Saya dihubungi isteri memaklumkan tentang kejadian lalu bergegas pulang.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik tiba di rumah saya hampir terduduk apabila melihat keadaan bumbung rumah yang sudah tercabut.

Keadaan bumbung rumah Mohd Ridzuan yang rosak teruk akibat kejadian ribut yang melanda Felda Sungai Panching Utara di sini pada Isnin.
Keadaan bumbung rumah Mohd Ridzuan yang rosak teruk akibat kejadian ribut yang melanda Felda Sungai Panching Utara di sini pada Isnin.

"Mujurlah isteri selamat apabila dia sempat berlari menyelamatkan diri ke rumah jiran berhampiran," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya pada Selasa.

Mohd Ridzuan berkata, buat sementara waktu dia dan keluarga terpaksa menumpang di rumah abangnya yang juga terletak di kawasan tersebut.

"Saya agak buntu untuk mencari wang bagi membaiki rumah ini dalam masa terdekat kerana kosnya sudah tentu agak besar jika melihat kepada kerosakan yang dialami.

"Harapnya ada pihak akan membantu meringankan beban kami untuk membaiki rumah ini dalam masa terdekat," katanya.

Dia yang lahir di rumah itu mengakui kejadian ribut itu paling buruk sejak ibubapanya menetap di situ sejak kira-kira lima dekad lalu.

Bagi Mazlan Abdullah, 56, dia tidak menyangka hujan tidak terlalu lebat yang turun pada awalnya akan membawa kejadian ribut.

Menurutnya, kejadian berlaku amat pantas dan secara tiba-tiba suasana dalam rumahnya menjadi cerah selepas sebahagian bumbung ruang tamu tercabut.

"Ketika kejadian saya berada di dalam bilik dan tiba-tiba terdengar bunyi seakan kayu patah sebelum menyedari atap rumah sudah tercabut.

"Mujurlah keadaan hujan tidak terlalu lebat jadi barang-barang dalam rumah sempat dialihkan ke ruang yang lebih selamat," katanya.

Menurutnya, sepanjang menetap di situ, itulah kali pertama dia mengalami kejadian seumpama itu yang memberi kesan agak mendalam dalam hidupnya.

Dia juga berharap ada pihak yang tampil untuk membantu membaiki kerosakan rumahnya itu.

"Jika tiada bantuan pun, saya tetap kena baiki rumah ini. Alhamdulillah, adik-beradik lain sudah menyatakan persetujuan untuk sama-sama membaikinya," katanya.

Kejadian menimpa mangsa mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Mohd Tarmizi Yahaya yang turun padang menghulurkan bantuan.

Menurutnya, selepas menerima maklumat berhubung kejadian, beliau telah turun bersama beberapa agensi lain meninjau kerosakan yang berlaku selain menghulurkan bantuan awal kepada mangsa terlibat.

"Malam tadi (Isnin) saya telah datang meninjau keadaan dan berdasarkan maklumat awal ketika itu sekitar 15 rumah yang terjejas.

"Bagaimanapun hari ini, bilangan rumah yang terjejas bertambah kepada 24 buah dan mangsa yang terlibat dibantu dengan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka," katanya.

Beliau difahamkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menghulurkan bantuan selain dari pihak kerajaan negeri dan Felda sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!