JBPM Melaka terima tujuh panggilan babitkan pesakit obesiti sejak Julai
MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima tujuh kes panggilan kecemasan penyelamatan membabitkan mangsa menghidap penyakit obesiti bermula Januari tahun hingga Julai ini.
Kesemua panggilan yang diterima melibatkan individu berusia 30 hingga 60 tahun dengan anggaran berat badan antara 100 hingga 250 kilogram (kg).
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, daripada jumlah itu empat kes dilaporkan berlaku dalam tempoh bulan ini sahaja sekali gus angka itu menunjukkan peningkatan kes berbanding tahun lalu yang hanya menerima lima kes mengangkat individu obesiti.
Menurut beliau, peningkatan kes obesiti bukanlah satu trend seperti kes kebakaran hutan atau belukar yang kerap berlaku ketika musim panas dan kering, namun kes kecemasan yang membabitkan individu kategori itu adalah satu kebetulan.
"Khidmat khas yang diterima membabitkan beberapa kategori respon termasuk bantuan mengangkat dan membawa individu obes ke hospital serta pengurusan jenazah di lokasi dan tanah perkuburan," katanya.
Zulkhairani berkata, bagi operasi penyelamatan beberapa teknik khas akan dipraktikkan untuk mengangkat pesakit atau mayat mangsa obesiti yang mana kaedah tersebut bergantung kepada situasi keadaan mangsa pada ketika itu.
"Sekiranya mangsa boleh bergerak, kita akan menggunakan kerusi roda dan kemudian dibawa menerusi lori angkut yang mempunyai peralatan hidraulik.
"Bagi pengurusan jenazah obesiti, kita akan menggunakan peralatan menahan beban dan proses pengebumian akan menggunakan kaedah 'lowering' untuk membawa jenazah masuk ke dalam liang lahad," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerja-kerja penyelamatan mangsa obesiti ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana pasukan bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai langkah keselamatan kerana ada mangsa yang tidak diketahui status Covid-19 mereka.
Tambah beliau, seramai lapan hingga 11 anggota akan digerakkan bagi menyertai operasi menyelamat dengan anggaran masa kira-kira 30 minit untuk membantu menguruskan kes mangsa obesiti.
Katanya, setelah selesai operasi mengangkat dan memindahkan individu obes, pihaknya akan melakukan disinfeksi menyeluruh di premis terlibat termasuk kenderaan dan anggota serta pegawai.
"Walaupun panggilan kecemasan melibatkan pesakit obesiti kerap diterima sejak akhir-akhir ini, namun kita akan terus meningkatkan perkhidmatan kami kepada masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!