Dua lelaki langgar SJR dekat Parlimen positif dadah
KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang yang melanggar sekatan jalan raya (SJR) dari bangunan Parlimen sekitar jam 11.50 pagi ditahan direman selama tiga hari bermula Selasa hingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.
Kedua-dua mereka yang berusia 25 tahun sebelum itu ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian dan ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemandu kereta Perodua Alza itu gagal memberhentikan kenderaan di SJR berkenaan dan memecut laju ke arah bangunan Parlimen sebelum membuat pusingan U ke arah Jalan Mahameru.
"Ketika itu suspek yang berada di bawah pengaruh dadah ketakutan jika ditahan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selada.
Menurut Zainal, hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu oleh suspek didaftarkan di atas nama seorang wanita tempatan dan polis akan memanggilnya untuk membantu siasatan.
Tambahnya, hasil semakan mendapati pemandu mempunyai 12 rekod kesalahan lampau membabitkan dadah manakala suspek kedua mempunyai dua rekod atas kesalahan sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!