Lambat laksana RTK-Ag, angka kes positif akan terus meningkat
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendakwa langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lambat ‘mengiktiraf’ dan melaksanakan ujian saringan melalui air liur (RTK-Ag) bagi mengesan kes jangkitan Covid-19 akan mengakibatkan kes positif terus meningkat.
Beliau berkata, ia berpunca daripada sikap kerajaan yang sombong dan gagal memanfaatkan pendapat pakar-pakar kesihatan, tidak seperti yang telah dilaksanakan di Selangor.
"‘Commander-in- chief’ gagal mengorkestrasi dan memobilisasikan seluruh pengurusan Covid-19. Selaku Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), saya dan team, kami adalah satu 'think tank' yang berperanan membantu kerajaan negeri sebanyak mungkin, kita bukan pelaksana, bukan eksekutif.
"Jika digunakan angka saja, pasti Selangor yang tertinggi, namun, cuba bandingkan nisbah jumlah penduduk Selangor dan Labuan, jelas berbeza. Cuba lakukan ujian saringan di seluruh negara dan seluruh negeri. Jangan memangsakan Selangor.
"Saya dah lama beritahu guna ujian saringan air liur kerana ia lebih tepat tapi sekarang baru nak buat. Kepincangan KKM berterusan, lambat belajar, terlalu sedikit (ujian dibuat), sebab itu kes harian tidak akan turun malah saya ramalkan angka akan terus mencanak," katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat Pada Selasa.
Beliau berkata, kegagalan terhadap polisi-polisi yang dilaksanakan telah meletakkan keupayaan menangani pandemik ini tergendala.
"Kami sudah sebutkan lebih setahun lalu, berbuih mulut kami bercakap tentang perkara yang boleh dilaksanakan termasuk perkongsian data.
"Dengan menggunakan Artificial Intelligence (AI) membolehkan kami (STFC) meramalkan tempat-tempat yang berisiko menjadi hotspot dan kita masuk dengan melakukan mass targeted testing,” katanya.
Jelas beliau, ia berbeza dengan KKM yang membuat ujian ke atas kontak rapat setelah berlakunya sesuatu kluster.
"Namun ia tetap menyaksikan limpahan kes, manakala kes yang dikatakan sporadik tak terkait mana- mana kluster.
“Kluster belum dapat dikenal pasti, ia makan masa sebulan setengah hasil kajian kes indeks, sebab itulah pentingnya contact tracing,” katanya.
Katanya lagi, aplikasi MySejahtera hanya aplikasi imbasan sahaja, namun tidak dapat mengesan kes indeks.
Justeru, beliau menyeru agar reformasi segera terhadap sistem kesihatan dan cara pengurusan pandemik di negara ini dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!