Doktor kontrak terlibat protes tidak dikenakan tindakan disiplin
KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan disiplin akan diambil terhadap doktor-doktor kontrak yang terlibat dalam protes aman di hospital-hospital kerajaan seluruh negara pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab isu-isu yang dibangkitkan ahli-ahli Parlimen berhubung kebajikan doktor kontrak, pada sesi pergulungan Sidang Khas Dewan Rakyat Pada Selasa.
"Kita tidak akan ambil tindakan disiplin terhadap doktor kontrak yang adakan hartal," katanya.
Pada sesi sama, penjelasan Dr Adham berhubung langkah interim kerajaan memberi lanjutan kontrak bagi doktor kontrak selama dua tahun menerima kritikan beberapa ahli Parlimen.
Antaranya, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang mendesak agar lanjutan dibuat untuk tempoh lapan tahun.
Bagaimanapun Dr Adham berkata, ia adalah langkah interim dan memohon agar Dewan Rakyat memberi sokongan agar pihaknya dapat membawa tuntutan tersebut dalam tempoh dua tahun ini ke Parlimen.
Pada Isnin, beberapa kumpulan doktor kontrak terlibat dalam protes aman serentak di beberapa hospital awam bagi menyatakan bantahan mereka terhadap layanan kerajaan berhubung masa depan kerjaya mereka.
Pengumuman kerajaan berhubung lanjutan kontrak juga disifatkan tidak memenuhi tuntutan asal mereka yang mahukan jaminan penjawatan tetap untuk jangka masa panjang.
ARTIKEL BERKAITAN: Doktor kontrak mogok, tuntut dua perkara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!