Kami sudah cuba lakukan terbaik: Pandelela
TOKYO - [DIKEMAS KINI] “Kami sudah cuba melakukan yang terbaik dan mungkin kami tiada tuah meraih pingat kali ini. Tiada yang perlu dikesalkan,” demikian reaksi ratu terjun negara, Pandelela Rinong selepas tamat acara 10 meter platform seirama wanita Sukan Olimpik Tokyo di Pusat Akuatik Tokyo pada Selasa.
Pandelela, 28, berkata, segalanya berjalan lancar ketika sesi memanaskan badan sebelum saingan bermula, namun ketika aksi sebenar beliau bersama Leong Mun Yee, masing-masing melakukan kesilapan dalam terjunan.
“Kami beraksi tanpa tekanan kerana sudah biasa dengan keadaan ini... mungkin semasa melakukan terjunan sedikit tidak menjadi,” kata penerjun kelahiran Sarawak berusia 28 tahun itu.
Harapan peminat sukan tanah air untuk melihat gandingan Pandelela dan Mun Yee menyumbangkan pingat tidak kesampaian, selepas gandingan penerjun negara itu sekadar menamatkan acara berkenaan di kedudukan kelapan.
Pasangan penerjun negara itu sekadar meraih 277.98 mata, sekali gus gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi Malaysia pada edisi Rio 2016.
Pingat emas acara itu dimenangi gandingan penerjun China, Chen Yuxi dan Zhang Jiaqi yang meraih 363.78 mata.
Pada edisi Rio 2016, Pandelela meraih pingat perak dalam acara terjun 10m platform seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong.
Bagi menebus kekecewaan itu, Pandelela berkata beliau akan berusaha sedaya upaya menampilkan aksi terbaik apabila turun bersaing dalam acara 10 meter platform individu pada 4 Ogos ini.
“Ambil ini sebagai pengajaran dan motivasi untuk buat lebih baik semasa latihan dalam beberapa hari ini, dan kekalkan kekuatan mental.
“Saya perlu konsisten dalam setiap terjunan jika mahu berada dalam kedudukan tiga teratas,” kata Pandelela.
Bagi Mun Yee, 36, beliau mengakui penyertaan di Tokyo adalah penampilan terakhirnya di pentas Olimpik selepas edisi Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.
Beliau berkata penularan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan persiapan mereka, bagi menghadap temasya sukan di Tokyo itu.
“Gerakan seirama kami agak baik, tetapi kami berdua melakukan kesilapan dalam terjunan masing-masing, ini menyebabkan kami tidak dapat mempamerkan aksi terbaik.
“Selalunya sebelum bertanding di Olimpik, kami akan ada latihan pusat di luar negara, tetapi kali ini kami tidak dapat lakukannya, dan pertandingan antarabangsa juga tidak banyak, dan ini sedikit sebanyak menjejaskan persediaan kami,” kata Mun Yee.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut hadir menyaksikan aksi tersebut berkata, perjuangan kontinjen negara dalam acara terjun belum berakhir.
Beliau masih menaruh harapan sukan terjun mampu menghadiahkan pingat, apabila cabaran akan diteruskan Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee dalam pusingan awal acara 3m papan anjal individu wanita pada Jumaat (30 Julai), selain Pandelela dan Cheong Jun Hoong dalam pusingan awal 10m platform individu wanita.
“Banyak kejutan berlaku hari ini... dua terjunan pertama sangat baik, namun tanpa disangka, prestasi dari penerjun Amerika Syarikat dan Mexico semakin baik, manakala China memang berada di kelas tersendiri.
“Saya berharap rakyat Malaysia bertabah dan kekal sokong atlet kita,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!