Sabah di landasan terbaik capai 60 peratus penduduk divaksin

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KENINGAU - Sabah berada dalam landasan yang terbaik untuk mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksin menjelang Oktober ini, kata Ketua, Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, ini dapat dilihat berdasarkan angka Program Vaksinasi Jangkauan Luar, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dengan jumlah dos suntikan melebihi sasaran 30,000 dos sehari selama empat hari berturut-turut sejak 21 Julai.

Menurut beliau, pada 21 Julai lepas, sejumlah 31,375 dos suntikan vaksin pertama dan kedua telah diberikan kepada penduduk Sabah diikuti 32,293 dos pada 22 Julai, 23 Julai (35,749 dos) dan 24 Julai (32,504).

“Dengan ketibaan vaksin dos tunggal CanSino yang dijangka bulan depan, Sabah kini berada dalam rangka untuk mencapai sasaran itu,” menurutnya dalam kenyataan selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di sini pada Selasa.

Hajiji berkata, selain itu, pembukaan PPV integrasi pertama Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu pada Rabu akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri tersebut.

“Bersama dengan program sedia ada iaitu Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja industri dan PPV Integrasi, yang melibatkan dua organisasi penjagaan kesihatan swasta, diharap dapat meningkatkan vaksinasi daripada 1,500 hingga 10,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata, Sabah akan menerima sejuta dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan 1.8 juta dos vaksin jenis CanSino menjelang bulan depan.

Hajiji sebelum ini dilapor sebagai berkata Sabah berharap dapat mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk menerima vaksin Covid-19 menjelang akhir 2021 bagi mengekang penularan pandemik itu di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19, seramai 646,420 orang atau 16.5 peratus penduduk Sabah telah menerima dos pertama vaksin sehingga semalam.

Hajiji juga berkata, sebanyak 84.25 peratus atau RM88,815,600 daripada RM120,469,481 yang diperuntuk di bawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang diumum pada 9 Jun lepas sudah disalurkan bagi membantu penduduk negeri itu yang terkesan akibat Covid-19.

“Sebanyak RM45,612,200 yang telah diperuntuk di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah adalah sebahagian daripada RM120 juta dan hampir keseluruhannya sudah disalurkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!