63 peratus kes keracunan vape libat kanak-kanak bawah 5 tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 63 peratus kes keracunan cecair rokok elektronik yang dilaporkan Pusat Racun Negara adalah melibatkan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch), Roslizawati Md Ali berkata, berlaku peningkatan ketara pada tahun 2019 sehingga 2020.

Berikutan itu, MyWatch memandang berat masalah merokok sama ada menggunakan tembakau atau rokok elektronik terutamanya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Menurutnya, pihaknya juga merujuk kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 31 Mei 2020 bahawa hampir 20 peratus kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 adalah perokok.

"Hujah ini diperkuatkan lagi susulan kenyataan daripada Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada 28 April 2021 berkaitan hasil kajian mendapati perokok mempunyai risiko hampir dua kali ganda untuk mendapat komplikasi jangkitan lebih teruk," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memohon agar liputan media sama ada menerusi cetak dan dalam talian atau apa-apa program siar raya bersesuaian diadakan agar dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Mengulas lanjut, Roslizawati berkata, MyWatch turut mewakili 52 badan bukan kerajaan (NGO), organisasi sivil kemasyarakatan (CSO) dan badan profesional menyerahkan memorandum mendesak pihak kerajaan pada 19 Mei lalu supaya segerakan pengharaman rokok elektronik di Malaysia.

"Gesaan ini selaras dengan Fatwa Amalan Merokok adalah haram yang telah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan 12 Majlis Agama Negeri-Negeri pada Disember 2015," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, MyWatch juga berpaksikan laporan saintifik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jun 2020 dan 'Framework Convention on Tobacco Control' yang Malaysia tandatangani pada Februari 2005.

"Walau bagaimanapun hari ini kita dapat berita pihak kerajaan akan segerakan kawal selia dan cukai duti eksais, seperti siaran media permintaan Japan Tobacco Industri (JTI) dan ini jelas bercanggah dengan Akta Kawalan Tembakau, walaupun kajian mendapati 99 peratus cecair rokok elektronik di pasaran mengandungi racun.

"Kesannya amat jelas membawa kematian dan kemudaratan sehingga kerosakan anggota dalaman badan, penyakit bahaya dan kemudaratan kecacatan akal," katanya.

MyWatch adalah sebuah NGO yang aktif menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan terhadap penggunaan merokok di Malaysia yang kini semakin mencabar dengan kemunculan produk-produk alaf baru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!