Siswazah menganggur meningkat 22.5 peratus pada 2020
PUTRAJAYA - Jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya, menurut Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada Selasa.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, situasi itu disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun lepas dan kesannya kepada kedudukan pasaran buruh.
Justeru, beliau berkata, kadar pengangguran siswazah pada 2020 meningkat 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus dalam tahun sebelumnya.
"Selain itu, lebih 75 peratus daripada siswazah menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja yang mana hampir separuh menganggur bagi tempoh kurang dari tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan penerbitan statistik tersebut.
Siswazah dalam laporan itu ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diikhtiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.
Mohd Uzir berkata, antara 4.35 juta siswazah yang bekerja pada 2020, lebih daripada dua pertiga atau 68.8 peratus adalah dalam kategori mahir, namun jumlahnya menurun 0.8 peratus berbanding 2019, iaitu penurunan dalam kategori pekerjaan profesional, termasuk juruteknik dan profesional bersekutu.
Beliau berkata, kategori pekerjaan separuh mahir meliputi 19.3 peratus siswazah bekerja pada 2020, terutamanya dalam kategori pekerja perkhidmatan dan jualan, operator loji dan mesin serta pemasang, katanya.
Komposisi siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula meningkat kepada 28.9 peratus manakala 2.3 peratus siswazah bekerja adalah dalam kategori berkemahiran rendah.
“Siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran memandangkan mereka bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kelayakan mereka,” katanya.
Dari perspektif sektor ekonomi, beliau berkata, lebih 75 peratus atau 3.37 juta siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti 14.6 peratus dalam sektor pembuatan.
Menurut Mohd Uzir, terdapat 800,900 siswazah luar tenaga buruh pada 2020, iaitu 39.4 peratus daripada jumlah itu adalah kerana kerja rumah atau tanggungjawab keluarga.
Berdasarkan Laporan Survei Gaji & Upah jabatan tersebut, purata gaji dan upah bulanan siswazah bagi pekerjaan utama sepenuh masa atau setaraf, turun 10.6 peratus kepada RM4,489 berbanding RM5,020 pada 2019.
“Pemegang ijazah menerima purata gaji dan upah sebanyak RM5,471 sebulan pada 2020, berkurang 9.1 peratus berbanding 2019, manakala pemegang diploma menerima purata sebanyak RM3,311, menyusut 11.5 peratus pada tempoh yang sama.
"Dapat dilihat bahawa kategori mahir merekodkan pengurangan terbesar sebanyak lapan peratus kepada RM5,316, sementara kategori separuh mahir menerima RM2,418, jatuh sebanyak 2.7 peratus berbanding 2019.” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!