Himpunan bantah hina nabi Jumaat ini
KUALA TERENGGANU - Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Terengganu bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terengganu akan menganjurkan Himpunan Bantah Hina Rasulullah selepas selesai solat Jumaat, 1 Mac ini di lapan masjid terpilih.
Pengerusi UMMAH Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, lapan masjid itu adalah masjid Tokku Tuan Besar, Masjid Tokku Paloh, Masjid Pengadang Baru, Masjid Batu Rakit, Masjid Ar Ridha Manir, Masjid Pekan Ajil, Masjid Pasir Minal dan Masjid Banggol Peradong.
Menurutnya, selain masjid terpilih, himpunan tersebut turut disokong oleh siri bantahan di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk parti politik bagi membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
“Hari demi hari, orang bukan Islam semakin berani menghina Islam. Mereka tidak segan silu untuk berbuat demikian di media maya terbuka dan terbaharu siri penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, isu ini sangat menyakitkan hati umat Islam.
“Umat Islam seolah-olah dicabar setiap hari, suasana ini wajib dibendung agar ia tidak berlarutan dan menjadi lebih parah kerana boleh mencetuskan huru hara jika tidak ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihaknya kesal dan kecewa kerana kerajaan seolah-olah tidak serius dalam menangani isu ini walaupun dipimpin oleh Perdana Menteri dan jemaah menteri yang sebahagiannya terdiri daripada orang Islam.
Sehubungan itu katanya, himpunan bantahan itu wajar diadakan bagi mendesak pihak berkuasa memberi hukuman sewajarnya terhadap mereka yang terlibat dan meminta golongan bukan Islam menghormati hal ehwal umat Islam serta menjaga keharmonian negara.
“Kewajipan orang Islam pula ialah bersatu dalam isu ini, tidak sepatutnya kita berbeza pendapat dan berpecah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!