Hari kedua Dewan Rakyat: Bincang isu perundangan, perubatan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Isu pembatalan Ordinan Darurat dan pembelaan terhadap hak-hak doktor kontrak terus dibangkitkan Ahli Parlimen pada hari kedua Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini selain cadangan bagi penambahbaikan terhadap usaha menangani pandemik Covid-19.
Umpama gelanggang mahkamah, hampir dua jam sesi awal hari ini ‘panas’ apabila beberapa ahli Parlimen yang majoritinya memiliki latar belakang sebagai peguam bangkit mempersoal pengumuman pembatalan ordinan darurat dalam sesi pertama semalam yang dianggap tidak jelas.
Gobind Singh Deo (PH-Puchong), yang merujuk kepada Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, mempersoal sama ada pembatalannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan adakah ia mengikut prosedur seperti tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) turut bangun dan memaklumkan bahawa beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 juga tidak tahu-menahu mengenai pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu.
Isu sama turut dibangkitkan oleh Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mempersoal kesan terhadap kes-kes yang didakwa di mahkamah manakala M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat), RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) pula meminta penjelasan mengenainya diberikan serta-merta.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mempengerusikan majlis mesyuarat itu berkata, beliau sebagai ahli Parlimen turut merasai perkara sama.
Takiyuddin berkata, penjelasan berhubung segala isu yang dibangkitkan akan dijawab Isnin ini dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, ketika mengendalikan sesi dewan selepas itu, turut bertegas dengan keputusan sama seperti yang dibuatnya semalam.
Situasi kembali tenang ketika persidangan bersambung dengan penerangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai pandemik Covid-19 dalam negara dari segi kaedah penularan dan jumlah kes selain tindakan yang diambil kerajaan dalam mempersiap Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 serta fasiliti di hospital.
Ahli Parlimen Tenggara itu turut memaklumkan bahawa sehingga 30 April 2021, sebanyak 278,023 jawatan tetap dan lebih 40,000 pelantikan secara kontrak diluluskan.
Suasana kembali hangat dengan perang mulut antara ahli Parlimen pembangkang dengan Dr Adham ketika Menteri Kesihatan itu menggulung perbahasan termasuk mengenai isu penggunaan ubat Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19.
Jika sebelah pagi sidang dewan kecoh dengan isu perundangan dan perlembagaan, sesi petang ditutup dengan isu perubatan antaranya mengenai rawatan untuk pesakit Covid-19, penambahan fasiliti untuk rawatan Covid-19 di hospital kerajaan dan ujian saringan besar-besaran.
Asakan demi asakan ditujukan kepada Menteri Kesihatan mengenai penggunaan Ivermectin, namun Dr Adham bertegas bahawa ia perlu melalui ujian klinikal terlebih dahulu untuk memastikan keberkesanan dan tidak mempunyai kesan sampingan.
Seramai 18 ahli Parlimen, terdiri daripada sembilan dari pihak kerajaan, lapan pembangkang dan seorang Bebas yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu, rata-ratanya membangkitkan isu berkaitan Covid-19.
Isu seperti hospital medan, kapasiti hospital yang semakin penuh dan kekurangan katil di Unit Rawatan Kecemasan turut disentuh ahli Parlimen terbabit.
Ketika sesi penggulungan, Dr Adham turut memberi jaminan bahawa tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap pegawai kesihatan yang terlibat dalam protes hartal semalam dan komitmen meminda Akta Pencen 1980 bagi membolehkan doktor kontrak diserap ke jawatan tetap dalam tempoh dua tahun. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!