Hina nabi: Warga emas tak mengaku salah, diikat jamin RM20,000

Foo Siong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Foo Siong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan memuat naik karikatur dan menghantar komunikasi jelik yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah menerusi akaun Facebook miliknya, baru-baru ini.

Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan pertama lelaki berasal dari Bentong Pahang itu didakwa memuat naik satu hantaran melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Foo Sing Wai” di mana tindakan tersebut berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama di antara kumpulan orang yang beragama Islam dengan kumpulan orang yang bukan beragama Islam di seluruh negara pada 5 petang, 17 Februari lepas.

Hantaran tersebut dibaca pada 18 Februari lepas pada 12 tengah hari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27 , Menara KPJ, Wangsa Maju.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 298A(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau tidak melebihi dari lima tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara sedar menggunakan profil Facebook sama telah membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan alasan bukan kesalahan yang boleh dijamin.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan tidak kurang RM30,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin

Beliau berhujah, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius malah jaminan yang ditawarkan ini tidak melampau dengan mengambil kira perbuatan yang dilakukan.

“Kes ini juga telah mendapat perhatian masyarakat awam kerana melibatkan agama dan nabi. Jumlah jaminan yang rendah dikhuatiri boleh memberi persepsi negatif kepada orang awam terhadap sistem kehakiman,"hujahnya.

Foo Sing yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya jaminan dengan jumlah rendah diberikan kerana dia tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!