'Saya harap dapat meremukkan hati peminat Malaysia. Maaf'
SETERU dari Perancis, Brice Leverdez, menyatakan kesediaannya untuk mencongak perhitungan dengan taruhan utama Malaysia, Lee Zii Jia, dalam perhitungan terakhir Kumpulan M, Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Plaza Sukan Musashino Forest, hari ini.
Jaguh perseorangan lelaki kebangsaan itu bakal membuat penampilan kedua temasya tatkala Leverdez melakar kemenangan straight set ke atas wakil Ukraine, Artem Pochtarov, menerusi kemenangan 21-10, 21-8, semalam.
"Pertarungan tadi memberi ruang buat saya untuk mencuba sesuatu, lagipun pihak lawan menanggung kecederaan jadi dia tidak mempamerkan aksi terbaiknya.
"Sebab itu saya mendapat rentak dan bersedia menghadapi perlawanan esok," katanya sejurus tamat permainan semalam.
Zii Jia cuma memerlukan 25 minit ketika menang ke atas lawan sama, kelmarin, berbanding Leverdez yang tiada ruang rehat tetapi ia bukanlah satu gangguan besar buat pemain berumur 35 tahun itu.
"Saya tidak pasti. Mungkin sama sahaja, dia juga berlatih hari ini tapi bagi saya, saya bersedia menghadapi permainan esok," katanya lagi.
Naib juara Eropah 2019 itu sering menjadi igauan wakil negara apabila pernah mengalahkan pemain kelahiran Kedah tersebut termasuk Datuk Lee Chong Wei.
Malah, dia cukup bersemangat untuk meneruskan reputasinya itu.
"Sudah tentu saya 100 peratus bersedia dan saya rasa Zii Jia dalam kecergasan tinggi, apatah lagi selepas menjuarai Seluruh England.
"Saya harap dapat meremukkan hati peminat Malaysia. Maaf." - Sumber Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!