Pahang benarkan 108 Pusat Internet Komuniti dibuka semula
KUANTAN - Kesemua 108 Pusat Internet Komuniti (PIK) di Pahang dibuka semula sejak Isnin.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembukaan semula PIK berikutan kadar vaksinasi semakin meningkat dijalankan di seluruh Pahang.
"Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) ketat masih diguna pakai di setiap PIK sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19.
"Diharap dengan beroperasinya semula PIK, ia akan menyediakan alternatif kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan internet lebih baik.
"Buat masa ini, keutamaan akan diberikan kepada pengunjung dari golongan pelajar dengan tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Capaian internet WiFi percuma tersedia di persekitaran PIK adalah dalam lingkungan jarak 200 meter dan sudah tentu ia memudahkan pelajar untuk menggunakan internet," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, bagaimanapun bilangan pengunjung ke PIK masih dihadkan bagi mengelak jangkitan Covid-19.
PIK adalah inisiatif bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Kerajaan Pahang bagi memberikan capaian internet jalur lebar secara kolektif kepada penduduk luar bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!