Rotan anak hingga cedera, pemandu lori didakwa
JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan anak perempuannya, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Irwan Abu Kassim, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.
Mengikut pertuduhan, Mohd Irwan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anaknya yang berusia 9 tahun dengan menggunakan rotan sebagai senjata yang mungkin boleh menyebabkan kematian.
Dia didakwa memukul menggunakan alatan itu di bahagian lengan tangan dan kaki kiri mangsa di sebuah rumah di Jalan Tengah Stulang Laut kira-kira jam 3.30 petang, 21 Februari lalu.
Mohd Irwan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun, atau denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh dilarang untuk mendekati anak perempuannya itu.
Siti Hajar turut menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen bicara.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Muhamad Dan manakala tertuduh diwakili peguam, Zafirah Norizan dan Jihad Syahida Zakaria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!