Pembangkang dakwa SMS MKN retorik, sia-sia
KUALA LUMPUR - Wakil pembangkang mendakwa sistem pesanan ringkas (SMS) kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak digunakan secara berhemah sebaliknya banyak bersifat retorik dan propaganda.
Hannah Yeoh (PH- Segambut) berkata, ia dapat dilihat apabila platform itu tidak digunakan ke arah yang sepatutnya.
Jelasnya, sewajarnya dalam keadaan sekarang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memanfatkan platform itu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai cara penjagaan kendiri ahli keluarga yang positif Covid-19.
"Kita rasa platfom SMS MKN ini tidak digunakan dengan berhemah dan sia-sia dengan menghantar SMS retorik.
"Sampai (kita) ia rasa macam SMS membebel," katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Parlimen di sini pada Rabu.
Jelasnya, lebih ketara lagi apabila SMS 'propaganda' yang dihantar pada 16 Julai lalu sekadar ingin memaklumkan kerajaan terus membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19 melalui Program Bakul Prihatin Negara.
"Ia langsung tidak beritahu kita apa informasi yang diperlukan dan saya lihat ia berbunyi propaganda. SMS MKN ini (hanya) bazir duit rakyat," katanya.
Hannah dalam masa turut membangkitkan persoalan mengenai berapa peruntukan untuk SMS kerajaan melalui MKN itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!