14 ditahan sertai upacara kematian ahli keluarga
GEORGETOWN - Seramai 14 individu termasuk lapan wanita ditahan kerana disyaki menyertai upacara keagamaan bagi menghormati kematian seorang ahli keluarga mereka baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis sudah mengenal pasti 24 individu terlibat dan 14 daripadanya ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun dan merupakan ahli keluarga kepada si mati.
"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Sejak Isnin, tular video yang memaparkan lebih 10 individu termasuk kanak-kanak mengadakan satu upacara keagamaan membabitkan kematian.
Lokasi kejadian dikatakan berlaku di kawasan perumahan teres berdekatan persimpangan lampu isyarat di Jalan Dato' Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini.
Menerusi rakaman video berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang lelaki dipercayai sami berdiri sambil beberapa individu mengelilingi api dalam satu upacara yang berlangsung pada waktu malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!