GCA bakal berkembang 70 peratus
GLOBAL Systemes Asia Sdn Bhd (GSA) pada Jun 2021 telah memperoleh operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebuah kumpulan teknologi dari Switzerland, RUAG International di Malaysia.
Kini setelah proses pemerolehan selesai, RUAG Malaysia telah dijenamakan semula sebagai Global Component Asia Sdn Bhd atau GCA.
Pencapaian yang pesat dalam 30 hari pertama telah memperlihatkan pemain industri aeroangkasa kagum dengan GCA kerana syarikat ini telah berada dalam posisi dengan keperluan untuk meningkatkan tenaga kerja sebanyak 70 peratus dan fasiliti kemudahan penyelenggaraan sebanyak 25 peratus.
Pengerusi Global Systemes Asia Sdn Bhd (GSA), Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, berikutan pengambilalihan RUAG, mereka mempunyai strategi yang sangat jelas.
"Tumpuan kami adalah gabungan bersepadu dengan tenaga kerja sedia ada RUAG serta memastikan penawaran perkhidmatan dan kemampuan kami dalam kelangsungan perniagaan berjalan dengan lancar.
"Kami juga tidak akan berkompromi dalam memastikan perkhidmatan pelanggan sedia ada sentiasa berada pada tahap yang tinggi," kata beliau dalam kenyatan pada Rabu.
Pemindahan kemahiran dan pengetahuan dari RUAG serta portfolio pelanggan sedia ada akan menjadi pemacu untuk GCA manawarkan portfolio perkhidmatan yang cukup menyeluruh dalam industri ini.
Katanya, kelancaran proses integrasi ini juga membolehkan mereka beroperasi lebih awal daripada yang dijangkakan dan kini berada dalam kedudukan perniagaan yang kukuh untuk terus maju ke hadapan dan mengembangkan bahagian pasaran di Australia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
Ketika ditanya apakah faktor penyumbang kepada kejayaan GCA, Nonee Ashirin menjelaskan, pengambilalihan itu menyaksikan GCA mewarisi profil perniagaan yang mantap iaitu legasi dalam perniagaan domestik, serantau dan antarabangsa serta disokong oleh kemudahan operasi yang lengkap bertaraf dunia.
"Ini termasuk perkakas dan tenaga kerja teknikal yang mendapat pengiktirafan prestasi penyampaian berkualiti tinggi serta pengekalan kelulusan peraturan (CAAM, EASA, FAA, DGTA)," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GCA, Syahrul Amir Zaki berkata, pemerolehan, penyatuankepakaran serta kemampuan komprehensif ini menjadikan GCA sebagai komponen MRO yang diiktiraf secara global, terutama dalam peralatan starter-generator dan sistem pencahayaan pesawat, helikopter dan juga turboprop serantau.
Katanya, GCA juga mempunyai kepakaran yang dipertingkatkan dalam spektrum alternator generator dan sistem pencahayaan sedia ada serta keupayaan dalam bidang produk baharu seperti penggerak hidraulik dan kawalan servo.
"Pasukan penyelidikan dan pembangunan GCA juga sedang membangunkan portfolio berinovasi tinggi yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Kami berhasrat untuk menggandakan hasil pendapatan syarikat menjelang tahun 2024 kepada RM12 juta dengan jumlah kontrak pelanggan bernilai 19.7 juta.
"Kami juga ingin membangunkan pasaran teras syarikat ini melalui perkembangan perniagaan sedia ada di negara-negara serantau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!