Jangan terpengaruh iklan 'pautan' tawar kerja dalam talian

Gambar kiri: M Zambri. Contoh iklan mesej 'pautan' yang dihantar kepada orang ramai untuk memerangkap mangsa.
Gambar kiri: M Zambri. Contoh iklan mesej 'pautan' yang dihantar kepada orang ramai untuk memerangkap mangsa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan iklan berbentuk 'pautan' kononnya menawarkan peluang pekerjaan iaitu berniaga dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, ini merupakan salah satu modus operandi sindiket penjenayah yang dikesan mengaku sebagai Bahagian Pemasaran dari salah sebuah syarikat jualan dalam talian terkenal untuk memerangkap mangsa.

"Sekiranya melayan' pautan' disertakan, mereka akan menerima arahan-arahan tertentu oleh sindiket seolah-olah mangsa diterima dalam pekerjaan yang ditawarkan dan terus boleh bekerja dari rumah berpandukan arahan diberi.

"Melalui kes-kes dilaporkan sebelum ini, kebanyakan mangsa diminta untuk membeli stok produk bermula dengan jumlah kecil dan akan dibayar komisen.

"Selepas beberapa kali transaksi pembayaran komisen berjaya, mangsa akan bertambah yakin dengan syarikat tersebut dan mula berani mengeluarkan modal lebih besar dan ketika itulah keseluruhan modal yang dibayar atau dilaburkan akan terus lesap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

M Zambri berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!