Parcel scam: Warga emas rugi RM14,000

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki warga emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM14,100 lesap selepas diperdaya sindiket parcel scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa yang berusia 67 tahun pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita di laman sosial Facebook yang memperkenalkan diri sebagai 'Silver Vuyana’.

Menurutnya, mangsa bekerja sendiri di Perai, menerima panggilan daripada syarikat kurier dan mendakwa ada satu bungkusan yang dikirim kepadanya bagaimanapun mangsa perlu membuat pembayaran duti import dan caj penghantaran terlebih dahulu.

“Mangsa kemudian teringatkan mengenai rakan yang dikenali melalui Facebook yang sebelum itu memberitahu akan mengirim hadiah kepadanya dan tanpa mengesyaki apa-apa dia kemudian membuat bayaran sebanyak RM14,100 sebanyak tiga kali melalui transaksi mesin deposit tunai di sebuah bank di Raja Uda” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun Noorzainy berkata, mangsa yang tidak menerima bungkusan tersebut menyedari ditipu sindiket terbabit kemudian membuat laporan polis beberapa hari lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!