Asas ekonomi negara masih teguh didokong pasaran modal kukuh
ASAS ekonomi negara kekal teguh dengan prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang cerah didokong oleh kekukuhan pasaran modal serta sektor kewangan yang memiliki kecairan dan modal penampan yang kukuh, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen semasa persidangan Parlimen ialah sama ada keyakinan pelabur terjejas berikutan pandemik Covid-19 di Malaysia.
“Jawapan ringkasnya, tidak. Keyakinan pelabur asing tetap kukuh tentang prospek pemulihan ekonomi Malaysia.
“Bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P dan juga Moody’s telah masing-masing memberikan penarafan A- and A3 kepada Malaysia,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-63 yang dikeluarkan pada Rabu.
Tengku Zafrul berkata, minggu lepas Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan Malaysia di tahap BBB+.
“Penarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap ‘gagal’. Dari segi sejarah, tahap pelaburan langsung asing (FDI) dan persekitaran perniagaan Malaysia kekal stabil di sebalik landskap politik semasa.
“Sebagai contoh, peralihan kerajaan dilakukan secara aman dan teratur pada 2018, manakala di sebalik polemik politik pada 2020, Belanjawan 2021 tetap diluluskan di Parlimen,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!