Kerangka cukai Malaysia perlukan pembaharuan, pemodenan

Malaysia perlu melakukan pembaharuan kerangka cukai agar sesuai dengan keperluan negara. - Foto 123RF
Malaysia perlu melakukan pembaharuan kerangka cukai agar sesuai dengan keperluan negara. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terdapat keperluan untuk melakukan pembaharuan atau memodenkan kerangka cukai Malaysia agar sesuai dengan keperluan negara, kata pakar cukai terkemuka Dr Veerinderjeet Singh.

Beliau berkata, urusan perniagaan yang semakin kompleks, peningkatan urus niaga rentas sempadan, cara baharu menjalankan perniagaan, perubahan pantas yang berlaku sekarang dan kemajuan teknologi adalah antara faktor yang menyumbang kepada permintaan terhadap rangka kerja cukai baharu.

“Sudah sampai masanya bagi Malaysia untuk mengumumkan pembaharuan fiskal komprehensif yang meluas dan pelbagai, menyediakan pelan jangka panjang untuk membentuk sistem cukai bertaraf dunia yang setanding dengan sistem yang digunakan di negara-negara maju utama di dunia.

“Sudah sampai masanya untuk kita tidak lagi mengambil pendekatan menguji sistem cukai,” katanya dalam taklimat dasar baharu bertajuk, Developing a Modern Tax Framework from Malaysia (Membangunkan Kerangka Cukai Moden dari Malaysia), yang dikeluarkan oleh Centre for Market Education (CME).

Veerinderjeet menjelaskan, cadangan kerangka cukai baharu itu perlu mudah difahami, telus dan adil, mampan serta fleksibel dan bermaklumat.

Menurutnya, keutamaan dalam kerangka pembaharuan cukai bukan hanya pada kecekapan dan keberkesanan sistem cukai itu sahaja untuk menangani pengelakan dan penghindaran cukai, tetapi perlu juga mengambil kira aspek kesaksamaan dan keadilan, katanya.

Pembaharuan cukai perlu dibangunkan dengan ciri-ciri keadilan, berdaya saing di peringkat antarabangsa bagi perniagaan, pentadbiran cukai yang kurang kompleks serta kecukupan dan kemampanan hasil.

Menurut beliau, beberapa negara mengurangkan kadar cukai korporat mereka untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI). Malaysia perlu mengambil langkah yang sama dengan kemungkinan pengurangan tahunan 1.0 peratus dan meluaskan skop cukai penggunaannya.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan sememangnya berdepan dengan beberapa kekangan serta isu pengelakan cukai dan kadar pelaporan cukai yang rendah juga merupakan antara bahagian yang memerlukan penyelidikan mendalam kerana sektor tersembunyi serta informal boleh menjana hasil cukai yang besar.

“Kerangka fiskal yang mantap (mungkin bagi tempoh lima hingga 10 tahun) bagi mengorak langkah ke hadapan adalah apa yang kita perlukan,” syor beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!