3 individu gagal cabar keputusan kabinet Tun M lanjut lesen kilang Lynas
KUALA LUMPUR - Tiga individu pada Rabu gagal dalam permohonan mereka untuk mencabar keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas anggota kabinetnya melanjutkan lesen kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd, selama enam bulan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan Bun Teet serta dua penduduk Kuantan, Ismail Abu Bakar dan G Ponusamy selaku pemohon, terhadap Dr Mahathir serta 27 menteri kabinet ketika itu, Kerajaan Malaysia, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Lynas selaku responden pertama sehingga ke-31.
Peguam Dinesh Athinarayanan, yang mewakili ketiga-tiga individu, ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, mahkamah turut mengarahkan kesemua pemohon membayar kos berjumlah RM20,000 kepada responden pertama hingga responden ke-30 dan RM20,000 lagi kepada Lynas, selaku responden ke-31.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili Dr Mahathir, 27 menteri kabinet, kerajaan dan AELB turut mengesahkan keputusan mahkamah hari ini yang diperoleh menerusi e-mel. Lynas diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Sunil Abraham.
Pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada tiga individu terbabit untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.
Antara lain, mereka memohon satu deklarasi untuk membatalkan keputusan Dr Mahathir dan 27 menteri kabinetnya pada 15 Ogos 2019 yang membenarkan operasi Lynas dilanjutkan selama enam bulan.
Bun Teet turut memfailkan bantahan terhadap penaksiran kesan persekitaran (EIA) dengan menunjukkan bahawa berlaku pelanggaran syarat lesen dan pencemaran air bawah tanah seperti dalam laporan Jawatankuasa Penilaian Eksekutif (ERC). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!