88 notis tawaran kompaun MPSJ sepanjang Januari
SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengeluarkan sebanyak 88 notis tawaran kompaun atas pelbagai kesalahan menerusi operasi yang dijalankan sepanjang bulan Januari lalu.
Timbalan Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, bagi tempoh jangka masa sama juga, pihaknya telah melakukan operasi pemeriksaan ke atas 206 premis di sekitar kawasan Subang Jaya.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah seperti pemilik makanan tidak mempunyai Sijil Latihan Pengendali Makanan, tiada suntikan anti taun (typhoid), gagal mengekalkan kebersihan, tidak memakai apron dan sebagainya.
"Menerusi operasi berkenaan juga, sebanyak lima buah premis makanan telah ditutup kerana mendapat gred D dan gagal mematuhi peraturan ditetapkan oleh MPSJ," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkurnain berkata, pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas premis-premis makanan yang beroperasi di bawah kawasan pentadbiran MPSJ selepas ini bagi memastikan setiap pengusaha mematuhi peraturan khususnya dalam aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan.
Beliau berkata, bagi premis makanan di Medan Selera MPSJ, pihaknya akan membatalkan penyewaan sekiranya pengusaha tersebut mendapat gred C atau D serta membuka semula sewaan kepada penyewa baru yang berminat.
"Untuk rekod, pada tahun lalu sebanyak 1743 Notis Pembersihan serta 867 Notis Tawaran Kompaun telah dikeluarkan kepada pengusaha yang melanggar undang-undang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!