Minimum satu dos vaksin buat guru mampu cegah kluster sekolah
KUALA LUMPUR - Suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 untuk semua warga pendidik dan kumpulan sokongan sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula secara berperingkat 1 September depan mampu membendung kewujudan kluster sekolah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang ketika dihubungi berkata, kesatuan berterima kasih dengan jaminan yang diberikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung perkara itu dan berharap ia akan direalisasikan.
“Ini sememangnya permintaan NUTP sejak negara memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Dan saya berharap guru-guru di seluruh negara jangan melepaskan peluang keemasan ini bila mendapat janji temu suntikan vaksin,” katanya.
Khairy ketika menggulung sesi pertanyaan ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Rabu memberi jaminan semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula pada 1 September.
Menurut Khairy, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengenal pasti bilangan guru, anggota pelaksana dan perkhidmatan kontrak untuk penjadualan janji temu dos pertama vaksin.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan jamin warga pendidik diberi vaksin sebelum sekolah dibuka
Aminuddin berkata, suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin akan meningkatkan keyakinan seramai 430,000 guru di seluruh negara untuk mengajar selain meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nenas, Alice Suriati Mazlan berharap vaksinasi kepada guru dapat dilaksanakan segera kerana guru merupakan barisan hadapan yang akan bersemuka dengan murid.
“Guru seharusnya dilindungi dan diberikan keutamaan dalam mendapatkan suntikan vaksinasi,” katanya.
Guru sekolah menengah, Linda Hamzah, 49, ketika dihubungi berkata, biarpun sesi persekolahan 1 September akan bermula dengan kelas peperiksaan, semua guru akan tetap ke sekolah untuk bertugas secara bergilir.
"Jadi perlindungan (vaksinasi) itu amat perlu untuk guru. Kalau belum divaksinasi guru-guru akan bimbang untuk berdepan dengan murid.
“Saya harap proses vaksinasi untuk warga pendidik akan berjalan dengan lancar dalam masa sebulan ini dan sesi persekolahan nanti dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Seorang lagi guru Lizah Isa, 48, berpandangan suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin untuk guru adalah penting kerana sekolah melibatkan khalayak yang ramai dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) boleh berlaku.
Seorang ibu Azah Muda, 49, yang mempunyai anak di Tingkatan Satu berkata wujud kebarangkalian murid akan melanggar SOP di sekolah.
"Ibu bapa akan lebih yakin jika pelajar turut diberikan vaksinasi selain guru," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!