SPRM risau kecenderungan pelajar IPT
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melahirkan rasa kebimbangan terhadap kelompok mahasiswa yang masih menunjukkan kecenderungan untuk terlibat dengan elemen rasuah.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau secara peribadi berasa sangat gusar apabila kajian pihak penyelidik di institusi pengajian tinggi (IPT) mendedahkan bahawa masih ada kecenderungan golongan pelajar di pusat pengajian tinggi untuk terlibat dalam amalan rasuah.
Katanya, meskipun kajian dilakukan itu mendapati terdapat penurunan kadar peratusan golongan mahasiswa yang cenderung kepada elemen rasuah berbanding beberapa tahun sebelumnya, namun pendedahan penyelidikan tersebut amat merisaukan terutama melibatkan masa hadapan negara.
“Universiti merupakan gedung atau tiang utama untuk mengeluarkan barisan kepimpinan negara pada masa hadapan yang melibatkan penugasan sebagai pegawai kerajaan, pihak perbankan, agensi swasta dan sebagainya.
“Saya berasa risau sekiranya golongan pelajar ini tidak memahami sepenuhnya nilai-nilai tinggi seperti integriti dan akauntabiliti yang telah diterapkan di pusat pengajian masing-masing.
“Mereka bukan sekadar tahu, sebaliknya sedar sepenuhnya bahaya amalan rasuah sekiranya berleluasa dalam kalangan masyarakat,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Hasil Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Program Sinar Live anjuran Yayasan Antirasuah Malaysia (YARM) tersebut turut menampilkan mantan majistret, Firdaus Ramlan.
Kaji selidik itu dibentangkan Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Mahasiswa Kedoktoran Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Norhaflinda Mohd Sahabuddin serta cendekiawan daripada Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Profesor Madya Dr Hanina Hamsan, Profesor Madya Dr Akmar Hayati Abdul Ghazali dan Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Azam berkata, dia juga berasa khuatir dengan peningkatan kes amalan rasuah atau menyalah guna kuasa melibatkan segelintir kakitangan atau kumpulan pendidik di IPT.
Menurutnya, punca perbuatan dan kecenderungan dalam melakukan amalan buruk tersebut seharusnya ditangani.
“Perkara seumpama ini sangat menakutkan dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada saya. Di mana puncanya perkara sebegini boleh berlaku?
“Mungkin percaya wang boleh membeli segalanya termasuk menutup kesalahan yang dilakukan, maka amalan rasuah terus berleluasa,” ujarnya.
Sehubungan itu,katanya, dia berharap penglibatan semua pihak di peringkat universiti atau IPT untuk membasmi amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Sementara itu, beliau berkata, SPRM sangat berharap agar Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) akan dapat dipergiatkan bagi membantu pihak pengurusan IPT memberi pemahaman kepada kumpulan pelajar.
Jelasnya, tidak perlu kepada golongan yang ramai menganggotai AMAR di sesebuah IPT, sebaliknya penglibatan aktif dalam menjalankan program-program mendidik mahasiswa.
“Persediaan awal terutama di peringkat IPT adalah sangat penting bagi memberi pemahaman kepada pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Kami di SPRM banyak menganjurkan program-program yang boleh disertai oleh orang ramai. Jadi AMAR boleh ambil kesempatan ini untuk menganjurkannya bersama SPRM,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!