'Anak, suami jadi sumber kekuatan saya'

Noor Azlina bersama suaminya, Muhammad Basir untuk menerima pemeriksaan kesihatan di Hospital Selayang pada Selasa.
Noor Azlina bersama suaminya, Muhammad Basir untuk menerima pemeriksaan kesihatan di Hospital Selayang pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - “Saya perlu kuat untuk menjaga keluarga. Walaupun adakalanya air mata ini tumpah, saya tiada pilihan melainkan reda dengan ujian yang hadir dalam hidup kami sekeluarga.”

Demikian kata bekas jurufoto sebuah syarikat akhbar (Utusan Melayu), Noor Azlina Jaafar, 43, yang menjadi tetamu secara dalam talian pada program Talian Jiwa Episod 1 yang bersiaran di saluran 106, Astro Oasis pada 15 Julai lalu.

Ibu kepada tiga anak dari Balakong ini melalui episod kehidupan mencabar apabila beliau dan suaminya, Muhammad Basir Abu Bakar, 42, yang bertugas sebagai wartawan di syarikat sama hilang pekerjaan akibat penutupan operasi pada 9 Oktober 2019.

Menurut beliau, sejak kehilangan sumber pendapatan, beliau dan suami melakukan pelbagai jenis perniagaan termasuk makanan, minuman, kek, pewangi kereta dan menjual burger.

“Kami terpaksa berhenti berniaga burger di rumah sejak Ramadan lalu kerana masalah penghantaran ditambah kes Covid-19 yang semakin meningkat," katanya.

Noor Azlina berkata, pada awal tahun ini, keadaan kesihatan suami yang mengalami penyakit jantung juga semakin serius.

"Pada Mac lalu, hasil pemeriksaan doktor dari Hospital Serdang memaklumkan bahawa suami yang mengalami penyakit jantung ada 50 peratus pengaliran darah.

“Hasil pemeriksaan kelmarin (Selasa), hanya tinggal 30 peratus. Doktor menyarankan agar pembedahan jantung perlu dilakukan segera dengan anggaran kos RM40,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain suami, Noor Azlina turut memberi penumpuan kesihatan anak keduanya, Nur Iman Damia, 9, yang mengalami sakit jantung sejak kecil.

Katanya, walaupun secara zahir anaknya nampak sihat, namun jantung membengkak. Pihak doktor dari Institut Jantung Negara mencadangkan untuk melakukan pengimejan diagnostik, Magnetic Resonance Imaging (MRI) kepada Nur Iman Damia pada 24 Ogos ini.

“Anak dan suami menjadi kekuatan saya. Jika saya lemah, mereka lemah. Keadaan suami jadi mudah patah semangat dan stres. Saya pujuk suami agar memfokuskan kesihatan diri.

“Walaupun kini tidak bekerja, saya bersyukur dapat bersama keluarga. Sebelum ini, saya komited bekerja tanpa mengira hari. Saya dapat hantar suami dan anak ke hospital pada bila-bila masa.

“ALLAH menguji saya dengan tiada pendapatan, tetapi memberi peluang kepada saya untuk memfokuskan keluarga saya. Lembaga Zakat Selangor memberi bantuan kami sebanyak RM880 untuk sewa rumah dan barang dapur," katanya.

Noor Azlina berkata, pada awalnya beliau dan suami rasa terduduk bila diberhentikan kerja tanpa notis dan pampasan.

"Dahulu saya ambil gambar golongan asnaf yang menerima bantuan. Kini giliran saya di tempat mereka. Terasa sebak dan malu sedih, tapi kita terima keadaan ini.

No Image Caption

“Saya ucapkan terima kasih atas sumbangan sebanyak RM2,500 melalui program Talian Jiwa. Wang tersebut digunakan untuk membawa hutang yang tertunggak dan simpan sedikit dijadikan modal berniaga burger,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Noor Azlina Jaafar, boleh salurkan melalui Maybank 114253446156.

Program berkonsep Soul Fitness Clinic ini bertemakan Terapi daripada Al-Quran dan Hadis. Ia dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Astro Oasis dan Sinar Harian, bagi membantu masyarakat yang dalam kebuntuan akibat pandemik Covid-19 dengan panduan al-Quran dan Hadis.

Sila ikuti Talian Jiwa setiap Khamis, jam 6 petang di Astro Oasis. Bagi mereka yang memerlukan bantuan boleh daftar di https://bit.ly/PenerimaBantuanTV2021

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!