Peguam Negara wajib beri penjelasan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun wajib tampil memberikan penjelasan berkaitan kemelut pembatalan enam Ordinan Darurat yang digubal sejak 14 Mac lalu bagi menjernihkan kekeliruan seluruh rakyat Malaysia.
Peguam terkemuka, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata, gesaan itu dibuat memandangkan dakwaan kerajaan bahawa proklamasi darurat masih tidak terbatal meskipun pembatalan Ordinan Darurat sudah dibuat sejak 21 Julai lalu sebenarnya mencetuskan krisis Perlembagaan.
Jelas beliau, tidak munasabah dari sudut perundangan dan Perlembagaan Persekutuan untuk kerajaan mengekalkan Proklamasi Darurat sehingga tarikh tamatnya pada 1 Ogos hadapan, susulan kesemua Ordinan Darurat yang diadakan untuk melaksanakan proklamasi itu terbatal sejak 21 Julai lalu.
"Hatta, sudah menjadi tanggungjawab besar kepada Peguam Negara sebagai pegawai perundangan tertinggi negara, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan serta merupakan Penasihat Kerajaan Persekutuan, untuk tampil menyelesaikan kemelut perlembagaan dan perundangan berlaku ketika ini.
"Rakyat Malaysia mengharapkan sekurang-kurangnya Peguam Negara sebagai satu institusi di bawah Perlembagaan Persekutuan akan sanggup mendukung dan memartabatkan kedudukan perlembagaan itu sendiri dengan memberi penjelasan dan jawapan lengkap berkaitan kemelut pembatalan kesemua Ordinan Darurat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Isnin, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.
Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang, yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!