Polis rekod keterangan Hamid Sultan
PUTRAJAYA - Dua pegawai polis dari Bukit Aman hari ini hadir ke kamar Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer, bagi merekodkan keterangan berhubung afidavit sokongan yang diikrarkan hakim itu mengenai salah laku hakim-hakim dalam badan kehakiman Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Hamid ketika ditemui pemberita pagi ini.
Mohamed Haniff Khatri memaklumkan, kehadiran dua pegawai polis itu adalah bagi mengambil kenyataan selepas laporan polis dibuat oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berhubung afidavit berkenaan pada 15 Februari lalu.
"Beliau (Hamid) bagaimanapun menegaskan pendiriannya yang hanya akan memberi kenyataan lanjut berhubung afidavit tersebut melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),"katanya.
Jelasnya, sesi merekod keterangan yang berlangsung selama lebih satu jam turut dihadiri beliau selaku peguam bersama rakan sejawat, Datuk Joy W. Appukuttan.
Menurutnya, hakim mahkamah rayuan itu bersedia untuk bekerjasama dan menjawab secara terperinci mengenai afidavit tersebut melalui sidang RCI.
"Oleh kerana kerajaan telah bersetuju untuk membentuk RCI, maka adalah lebih sesuai butiran lanjut itu dibentangkan melalui sidang berkenaan,"katanya.
Hanif berkata Peguam Negara Tommy Thomas wajar menasihati polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghentikan siasatan, kerana RCI yang sedang ditubuhkan akan meneliti afidavit tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh RCI siasat salah laku hakim
ARTIKEL BERKAITAN: Pendedahan salah laku hakim hanya melalui RCI
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan salah laku hakim, Kehakiman buat laporan polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!