Nasib graduan semakin membimbangkan

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nasib graduan dilihat semakin membimbangkan pada tahun ini apabila statistik gaji median golongan terbabit menyaksikan penurunan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, ini berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyaksikan gaji median RM4,300 pada 2019 turun kepada RM3,815 pada 2020.

Menurutnya, keadaan lebih membimbangkan dengan peningkatan jumlah graduan menganggur pada tahun 2020 sebanyak 202,400 (4.4 peratus) berbanding 165,200 (3.9 peratus) bagi tahun 2019.

"Statistik ini secara tidak langsung menzahirkan keadaan ekonomi negara semakin parah. Jika graduan mengalami penurunan gaji, bagaimana nasib golongan lain yang turut terkesan dengan kemerosotan ekonomi hari ini," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau yang juga seorang peguam berkata, graduan terutama golongan muda harus dibantu bagi membolehkan mereka memulakan hidup dengan lebih sempurna.

Menurut Faiz, ramai graduan tidak mempunyai banyak pilihan dalam memilih pekerjaan dan terpaksa bekerja di sektor yang bukan mengikut kelayakan akademik mereka.

"Maka, tidak hairanlah graduan yang dikategorikan sebagai 'underemployed' atau bekerja di bidang tidak mengoptimumkan kemahiran mereka adalah hampir 1.4 juta individu pada tahun 2020.

'Ini adalah peningkatan hampir 300,000 individu hanya dalam tempoh setahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, kemerosotan itu akan memberi kesan negatif kepada pendapatan anak muda berpendidikan tinggi dan akan menjejaskan taraf hidup mereka dalam jangka masa panjang.

"Apalah maknanya negara mencapai status berpendapatan tinggi, kalau rakyatnya yang berpendidikan tinggi tidak dapat menikmati gaji dan kerja yang sesuai dan adil.

"Tambahan pula, kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan pendapatan pula terjejas pasti menyulitkan kehidupan rakyat terutama golongan muda," katanya.

Beliau berkata, walaupun ekonomi negara merosot akibat pandemik Covid-19, ia bukan alasan bagi membiarkan keadaan ini berterusan tanpa solusi.

Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) haruslah mencari strategi penyelesaian kepada masalah ekonomi hari ini.

"Pelan Pemulihan Ekonomi tidak menunjukkan apa-apa strategi tuntas untuk memulihkan ekonomi negara.

"Keyakinan pelabur asing yang semakin merosot akibat ketidakstabilan politik susulan Langkah Sheraton akan menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan dan pendapatan," katanya.

Beliau menambah, kegagalan kerajaan untuk membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara serius akan menyebabkan lebih banyak syarikat gulung tikar dan ini akan mengancam nasib graduan.

"Dianggarkan 40,000 PKS akan menutup syarikat dan perniagaan mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini," katanya.

Justeru, kerajaan seharusnya menyuntik lebih fiskal kerajaan ke dalam ekonomi rakyat terutamanya dengan memberikan subsidi upah bagi memastikan keupayaan majikan membayar gaji.

"Perbelanjaan kerajaan sebanyak RM83 bilion (16 peratus) daripada keseluruhan pakej rangsangan ekonomi adalah tidak mencukupi. Kerajaan harus berbelanja lebih untuk merangsang ekonomi bagi menambah poket rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!