Bomba pantau 61 hotspot berisiko kebakaran di Pulau Pinang
BATU KAWAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang memantau 61 kawasan titik panas (hotspot) yang berisiko mengalami kebakaran berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.
Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, kesemua kawasan itu meliputi 10 di daerah Timur Laut, 14 di Barat Daya, 14 di Seberang Perai Tengah, tujuh di Seberang Perai Selatan dan 15 di Seberang Perai Utara.
Menurutnya, JBPM Pulau Pinang sentiasa bersiap sedia dengan kekuatan 850 anggota bomba di 20 balai bomba seluruh negeri.
"Dari segi logistik, kita mempunyai 41 jentera keseluruhan meliputi 'water tender' dan 'water tanker'.
"Antara hotspot yang menjadi tumpuan adalah tempat pelupusan sampah haram yang tidak dapat kita dikenal pasti, belukar dan lalang.
"Selain itu, kita juga memantau tempat pelupusan sampah yang berada di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana kawasan ini berpotensi untuk terbakar terutamanya di musim panas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang di sini pada Khamis.
Katanya, JBPM Pulau Pinang sentiasa peka dan bersiap sedia dalam apa sahaja keadaan.
Sebelum itu, Saadon dan Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang, Datuk Mohamad Anil Shah melancarkan e-poster kesedaran bunuh diri di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!