Dos ketiga berkesan beri perlindungan terhadap varian Delta: Pfizer
WASHINGTON - Syarikat biofarmaseutikal Amerika, Pfizer pada Rabu menyatakan dos ketiga vaksin Covid-19 lebih berkesan meningkatkan tahap perlindungan antibodi terhadap varian Delta.
Tahap antibodi terhadap varian Delta pada individu berusia 18 hingga 55 tahun yang menerima dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech lima kali ganda lebih tinggi berbanding suntikan dos kedua, lapor Xinhua memetik data pada sidang video syarikat berkenaan.
Dalam kalangan individu berusia 65 hingga 85 tahun, data Pfizer menunjukkan bahawa tahap antibodi terhadap varian Delta selepas menerima dos ketiga, 11 kali ganda lebih tinggi berbanding dos kedua.
“Pfizer menjangkakan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan untuk dos ketiga vaksinnya dibuat seawal bulan depan,” kata ketua penyelidikan, pembangunan dan perubatan Pfizer global Mikael Dolsten, memetik CNN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!